My Add

Saturday 10 March 2012

Kedudukan gangguan bekalan air di Gombak, KL, Hulu Langat

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 Mac, 2012: Tiga wilayah iaitu Gombak, Kuala Lumpur dan Hulu Langat yang mengalami gangguan bekalan air sejak pagi semalam masih mengalami gangguan tersebut disebabkan kerja-kerja pembersihan masih dijalankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Datuk Ruslan Hassan, berkata tiga wilayah tersebut terjejas akibat hentitugas Loji Rawatan Air (LRA) Ampang Intake yang terpaksa menghentikan sementara operasi LRA itu petang semalam akibat banjir lumpur di loji itu.

"Setakat 12 tengah hari tadi, SYABAS dimaklumkan Puncak Niaga (M) Sdn
Bhd (PNSB) bahawa loji Ampang Intake masih belum beroperasi namun 70 peratus daripada sebahagian kawasan Ampang sudah pulih tetapi tidak stabil sepenuhnya setelah mendapat bekalan air alternatif daripada LRA Wangsa Maju," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
 
Ruslan berkata, setakat ini antara kawasan yang masih terjejas adalah Jalan
Bukit Belacan, Desa Lembah Permai, Lembah Jaya Utara dan Selatan serta Mesra Ria.

Berikutan itu, katanya, SYABAS sudah menyediakan lapan lori tangki yang
membekalkan air sebagai langkah untuk membantu mangsa di kawasan tersebut.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa isu pengeluaran air terawat di LRA
Sungai Langat sudah diselesaikan setelah loji itu beroperasi sepenuhnya pada
jam 9 malam semalam.

"Isu tersebut selesai selepas kadar kekeruhan yang tinggi di Sungai Langat
berkurangan kepada 446 Nephelometric Turbidity Unit (NTU)," katanya.

Beliau berkata, antara kawasan di Hulu Langat yang terjejas akibat paras
kolam imbangan yang belum stabil adalah Balakong, Dusun Tua, Sri Kembangan dan Sungai Tangkas.

Katanya, SYABAS menjangkakan kawasan tersebut akan pulih sepenuhnya
selewat-lewatnya esok pagi manakala kawasan lain yang terlibat di sekitar Kuala
Lumpur telah pulih sepenuhnya sejak 9 pagi tadi.

Ruslan berkata, walaupun keadaan telah mula pulih namun SYABAS masih
meletakkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau di kedua-dua wilayah
tersebut dan akan terus melakukan pemantauan terhadap situasi ini dari semasa ke semasa.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 24 jam 1800-88-5252 atau SMS
dengan menaip PUSPEL aduan/pertanyaan dan hantar kepada 39222 untuk
aduan atau pertanyaan.

Pengguna juga boleh membuat aduan di laman Facebook atau Twitter Syabas
dengan menaip 'puspel' atau 'puspel syabas'. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment