My Add

Tuesday 6 March 2012

Sumber air Loji Kuala Terla disahkan selamat

CAMERON HIGHLANDS, SELASA, 06 Mac, 2012: Sumber air dari Loji Air Kuala Terla di sini disahkan selamat serta tidak dicemari racun kulat jenis Tiodan yang dipercayai diguna dalam aktiviti menuba ikan di Sungai Terla. 

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata perkara itu dimaklumkan kepada polis oleh Jabatan Kimia yang menguji sampel air dari sungai tersebut.

"Hasil siasatan menunjukkan hanya air dan ikan di Sungai Terla sahaja dicemari dengan racun kulat terbabit," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Selasa lalu, Perbadanan Air Pahang menutup loji itu susulan beratus-ratus ikan ditemui mati di sungai tersebut dikhuatiri akibat pencemaran, sekali gus menjejaskan bekalan air kepada kira-kira 20,000 pengguna di daerah ini. 

Siasatan awal mendapati ikan terbabit mati akibat aktiviti menuba yang dilakukan dua warga Indonesia menggunakan racun kulat jenis Tiodan. 

Polis kini mengesan seorang lelaki warganegara Indonesia yang dipercayai terbabit dengan kes pencemaran air di sungai berkenaan. 

Wan Mohd Zahari berkata, suspek yang berumur 20-an itu dipercayai melarikan diri selepas melakukan aktiviti menuba ikan bersama seorang lagi rakannya di sungai terbabit. 

Bagaimanapun, rakannya ditahan pada 3 Mac lalu pada kira-kira 3 petang di kawasan kebun di Kuala Terla. 

"Mereka (suspek) melakukan perkara itu bagi memudahkan mereka memancing dan mendapat hasil ikan yang banyak apabila ikan berpusing naik ke permukaan air," katanya. 

Katanya, suspek ditahan reman selama tiga hari dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat kepada punca air dan binatang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment