My Add

Thursday 22 March 2012

Tiada ‘double standard’ penilaian permohonan sijil halal

KUALA LUMPUR, KHAAMIS, 22 Mac, 2012: Tiada unsur 'double standard' terlibat dalam menilai permohonan sijil halal daripada organisasi besar atau Industri Kecil Sederhana (IKS), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, kelulusan permohonan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah mengikut proses penghasilan sesuatu produk.

"Pemohon perlu sedar bahawa bagi meluluskan setiap permohonan ia perlu dinilai dari aspek penyediaan dan pemprosesan yang merangkumi penyediaan dan penghasilan bermula dari ladang sehinggalah ke meja makan.

"Kebiasaannya sesebuah permohonan untuk diluluskan paling lama 30 hari tetapi bagi permohonan seperti daripada IKS mungkin diluluskan lebih awal sebab faktor penyediaan produk tidak melibatkan terlalu banyak proses," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Auditor Pensijilan Halal Malaysia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima 'Resolusi Persidangan Auditor Pensijilan Halal Malaysia' yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha.

Menerusi resolusi tersebut, Jakim, Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) akan menyeragamkan proses, penilaian, pengauditan dan pemantauan pensijilan halal Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment