My Add

Thursday 22 March 2012

Usah mudah terhasut: PM

NAJIB beramah mesra dengan warga Universiti Teknologi MARA pada majlis pelancaran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) serta penyampaian Amanat Perdana Menteri kepada warga kampus di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, malam tadi.Najib gesa mahasiswa tuntut ilmu, bertindak secara matang

Oleh Wan Jailani Razak dan Khairul Azran Hussin 

SHAH ALAM, RABU, 21 Mac, 2012: Datuk Seri Najib Razak semalam mengingatkan siswa agar tidak mudah termakan hasutan dan janji manis pihak yang hanya suka menjual janji tetapi tidak mampu menunaikannya.

Berucap menyampaikan amanat kepada kira-kira 10,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Agong Tuanku Canselor di sini, malam ini, Perdana Menteri meminta siswa supaya meletakkan keyakinan terhadap kerajaan.

“Saya jamin di bawah kerajaan ini, insya-Allah hari esok akan lebih baik daripada hari ini,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dengan misi mempromosi keamanan dunia dan memupuk semangat setia kawan melalui khidmat masyarakat di dalam dan luar negara.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Najib berkata, beliau yakin dengan jaminan Mohamed Khaled yang menyebut siswa tidak akan biarkan ‘berjalan keseorangan’.

“Kalau ada seorang siswa nak turunkan gambar saya, banyak lagi yang nak naikkan gambar saya. Sudah menjadi lumrah dan adat, tak apa. Dalam demokrasi, kita tidak boleh dapat 100 peratus.

“Kalau dapat 100 peratus, dia kata kita tipu, tetapi saya percaya dengan kematangan siswa. Saya yakin kepada mereka, sebab itu bila pertimbang nak pinda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), saya dan rakan (Kabinet) buat keputusan pinda AUKU kerana asasnya kita percaya kepada siswa kita, boleh berfikir secara matang.

“Saya tekankan soal kebebasan, tetapi dengan tanggungjawab. Falsafah kita apabila pinda AUKU, insya-Allah siswa kita ada peluang, boleh pergi mana, dengar ceramah siapa pun, boleh jadi ahli parti mana pun, tetapi dalam kampus kena tumpu pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan bukan hendak mengongkong sebaliknya siswa perlu membuat pertimbangan secara matang dan bijaksana kerana mereka penentu masa depan negara.

Pada majlis itu, Najib turut menyerahkan watikah pelantikan kepada pengerusi YSS, penajaan YSS dan duta universiti sebelum menghadiri sesi ‘Teh Tarik’ bersama wakil pelajar.

Antara penerima watikah itu ialah Chambers of Zuraidah Atan, Datuk Zuraidah Atan selaku Pengerusi YSS; Pengarang Kumpulan Berita Harian/Berita Minggu, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengerusi Khairul Group, Datuk Khairul Anwar Rahmat, masing-masing sebagai ahli YSS. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment