My Add

Tuesday 20 March 2012

Usaha kembang R&D tenaga hijau perlu kerjasama semua pihak: PM

NILAI, SELASA, 20 Mac, 2012: Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta institusi penyelidikan dan institusi pengajian tinggi supaya bekerja sama dengan sektor swasta dan kerajaan bagi mengembangkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di dalam bidang tenaga hijau. 

Perdana Menteri berkata, berdasarkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat R&D tenaga solar serantau, sokongan dari pemain industri utama serta perniagaan adalah sangat penting.

"Kerajaan telah membuat keputusan muktamad bagi memastikan bahawa masa depan tenaga kita ialah hijau, mampan dan pelbagai dan Malaysia menggunakan tenaga secara paling cekap."

"Langkah Malaysia untuk menggunakan teknologi hijau bukan sahaja bertujuan memulihara sumbernya, malah juga mengunjurkannya menjadi satu rangsangan ekonomi bagi negara ini," katanya di dalam teks ucapannya bagi pelancaran Program Transformasi Ekonomi (ETP) Solar yang pertama disiapkan. 

Teks ucapan itu dibaca oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Taman Tenaga Diperbaharui Bersepadu Cypark di sini hari ini. 

Najib berkata, dengan mengamalkan kecekapan tenaga, yang dijangka mendorong kepada penjimatan Pendapatan Negara Kasar sebanyak RM14 bilion menjelang 2020, ia boleh memulihara alam sekitar dan merancakkan ekonomi Malaysia menjadi satu negara maju menjelang 2020. 

Beliau juga memuji Solar Panel Industry Alliance (SPINAL) kerana usaha mereka menggalakkan penggunaan pakai yang meluas dan meningkat serta mampan kesemua bentuk tenaga dan memberi fokus pada solar.

Katanya, dengan usaha SPINAL untuk mengukuhkan lagi kerjasama serantau dan antarabangsa, akan memberi manfaat ke arah pengembelengan dengan pantas tenaga diperbaharui di seluruh dunia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment