My Add

Tuesday 6 March 2012

Usahawan kecil Bumiputera perlu bekerjasama

KUCHING, SELASA, 06 Mac, 2012: Usahawan kecil dan sederhana perlu berkongsi pengalaman serta pengetahuan dengan kumpulan usahawan besar yang berjaya jika mahu mengembangkan skop perniagaan masing-masing, sekali gus tidak bergantung dengan sokongan kerajaan semata-mata. 

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata usahawan kecil juga boleh bergabung tenaga dan pengalaman dalam pelbagai bidang perniagaan yang lebih berpotensi sesuai dengan kehendak pasaran semasa.

"Kongsi pengalaman (mengurus perniagaan) untuk tingkatkan kejayaan daripada kecil ke skala sederhana dan jika berjaya, atasi masalah peringkat rendah, jangan tinggalkan mereka yang di peringkat rendah kongsi segala pengalaman dan pengetahuan itu," kata beliau ketika menyampaikan ucaptama dan perasmian Jejak 2012 dan Kongres Ekonomi Bumiputera Sarawak Ke-VI anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di sini, hari ini.

Taib berkata, usahawan kecil Bumiputera juga harus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang perniagaan melalui bimbingan pelbagai agensi kerajaan untuk kekalkan suvival perniagaan masing-masing. 

Menurutnya, jika usahawan kecil Bumiputera dapat bergabung di bawah satu payung organisasi yang besar mereka akan berpeluang meluaskan pasaran mereka dan bukan sekadar bersaing sesama sendiri dalam pasaran yang agak terhad. 

Beliau berkata, penubuhan TERAJU adalah satu langkah untuk membantu Bumiputera meningkatkan ekonomi dan menjamin keadilan sosial kerana keseimbangan ekonomi antara semua kaum penting untuk menjamin keharmonian negara. 

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop, berkata sebanyak RM100 juta daripada RM2 bilion Dana Mudah Cara disediakan oleh kerajaan untuk membantu usahawan Bumiputera di Sarawak.

Beliau berkata, selain TERAJU dan dana tersebut, kerajaan turut menyediakan pelbagai lagi skim seperti TERAJU KORIDOR yang menyediakan pelbagai inisiatif keusahawan di lima koridor wilayah pembangunan seluruh negara untuk mengenal pasti syarikat Bumiputera yang berprestasi tinggi, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan Skim Jejak Raya Bumiputera. 

Seramai 1,500 peserta daripada 10 dewan perniagaan Bumiputera di bawah Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) hadir pada kongres yang berlangsung selama dua hari itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment