My Add

Tuesday 24 April 2012

10 syarikat PNB, Khazanah dilupus

NAJIB mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam yang turut dihadiri oleh Muhyiddin Yassin serta (dari kiri) Dr. Awang Adek Hussin; Ahmad Husni Hanadzlah; Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Nor Mohamed Yakcop; Noh Omar dan Ismail Sabri Yaacob. - BERNAMA

PUTRAJAYA, ISNIN, 23 April, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan sepuluh syarikat, masing-masing lima syarikat di bawah Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan selebihnya di bawah Khazanah, akan dilupuskan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, pelupusan itu bertujuan membolehkan kesemua syarikat itu diserah milik kepada syarikat Bumiputera lain melalui tender terbuka.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera yang dipengerusikannya, yang berlangsung selama kira-kira dua jam di sini hari ini.

"Keputusan itu membolehkan PNB dan Khazanah melupuskan perniagaan yang bukan teras, selain untuk memberi peluang kepada syarikat Bumiputera yang berpotensi dan mempunyai kemampuan terbukti, untuk mengambil alih syarikat tersebut dan memajukannya lagi," kata Najib pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Najib berkata, pengumuman nama-nama syarikat tersebut akan dibuat tidak berapa lama lagi memandangkan ia perlu melalui proses mendapatkan keputusan daripada Lembaga Pengarah.

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri berkata keputusan turut dicapai untuk menambah sejumlah 50 lagi syarikat teras Bumiputera yang menjadikan keseluruhan 130 syarikat Bumiputera berprestasi tinggi.

"Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa beberapa buah syarikat yang telah tersenarai berjaya menjadikan syarikat itu sebagai sebuah syarikat utama dalam bidang masing-masing," katanya.

Najib berkata, sebagai contoh, syarikat AZRB yang memperoleh kontrak besar daripada program MRT, selanjutnya menawarkan kontrak pembekalan bernilai RM500 juta dalam jangka masa dua tahun kepada syarikat-syarikat Bumiputera.

Selain itu, katanya, MITC Ancasa Hotel (M) Sdn Bhd bekerjsama dengan Teraju dalam sektor industri pelancongan, dan MITC akan melabur RM100 juta dalam jangka masa tiga tahun untuk merealisasikan pelan perkembangannya selain membantu syarikat Bumiputera yang lain. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment