My Add

Wednesday 18 April 2012

2 lelaki menyamar penjawat awam samun warga asing ditahan

KUALA LUMPUR, RABU, 18 April, 2012: Polis menahan dua lelaki yang disyaki menyamun seorang warga Bangladesh dengan menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai kerajaan di Sungai Besi, Selasa lalu. 

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata lelaki tempatan dan lelaki warga Thailand itu diberkas ketika berada dalam sebuah kereta di tepi jalan berhampiran Desa Park di sini pada Jumaat lalu.

Katanya, berikutan penangkapan itu, pasukan petugas khas polis menyerbu sebuah rumah di PPR Seri Malaysia pada kira-kira jam 4 petang pada hari yang sama dan menahan seorang lagi lelaki warga tempatan yang mengaku bersubahat dengan kedua-dua lelaki itu.

Polis merampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian samun itu, dua pucuk pistol, sebuah walkie-talkie, dua telefon bimbit, dua butir peluru, satu jaket yang mempunyai lambang Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), satu baju seragam polis, pelbagai parang, pedang dan pisau kerambit di rumah itu, katanya. 

"Hasil daripada soal-siasat, suspek mengaku terbabit di dalam kes ini dan kesemua barang rampasan adalah milik suspek dipercayai digunakan untuk menyamar sebagai penjawat awam dan melakukan samun," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Katanya, warga Bangladesh itu yang disamun pada kira-kira jam 7.45 malam, 10 April lalu kerugian lebih RM2,000 dalam bentuk wang tunai dan telefon bimbit. 

Dalam kejadian itu, Mohan Singh, berkata kedua-dua suspek berumur 40-an itu mengarahkan mangsa yang juga pekerja sebuah kedai perabot di sini supaya mengikut mereka dengan menaiki sebuah kereta kononnya untuk tujuan siasatan. 

"Kedua-dua lelaki yang menyamar itu menghentikan kereta lebih kurang dua kilometer dari kedai perabot tersebut lalu menyamunnya. Mereka juga menikam pekerja kedai perabot itu di bahagian badan dan membiarkannya di tepi jalan," katanya. 

Katanya, kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan sehingga 20 April ini. 

Sementara itu, Mohan Singh berkata, anggota polis Daerah Cheras berjaya menumpaskan Geng Samun KK Mart dengan tertangkapnya dua anggota kumpulan itu awal bulan ini. 

Katanya, polis yakin dapat menyelesaikan sebanyak tujuh kes samun di sekitar Brickfields dan Cheras dengan penahanan kedua-dua suspek yang dipercayai bergiat aktif sejak tujuh bulan lalu. 

"Pada 5 April lalu lebih kurang jam 5.20 pagi hasil intipan ke atas Pasar Raya KK Mart Bukit Jalil, anggota polis ternampak sebuah motosikal dinaiki dua lelaki dipercayai warga tempatan dalam keadaan mencurigakan memasuki pasaraya tersebut sambil membawa dua bilah parang di kaunter dan mengarahkan supaya menyerahkan semua wang yang ada di kaunter," katanya. 

Beliau berkata, polis sempat memasuki pasaraya tersebut lalu menahan kedua-dua mereka yang berumur dalam lingkungan 20-an bersama dengan wang tunai RM6,000. 

Kata beliau, polis masih memburu seorang lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas dikenali dengan nama panggilan Hakimi. 

Mohan Singh berkata, kedua-dua suspek diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada Isnin lalu untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment