My Add

Tuesday 24 April 2012

30 sekolah di Kelantan akan dilengkapi penapis air: TPM

KOTA BHARU, SELASA, 24 April, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata masalah bekalan air bersih yang kritikal di 30 buah sekolah di Kelantan akan diatasi segera dengan pemasangan alat penapis air. 

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata keadaan bekalan air di 30 sekolah itu kini di tahap membimbangkan dan jika terus dibiarkan boleh mengganggu kesihatan dan pembelajaran pelajar.

"Banyak lagi sekolah di Kelantan yang menghadapi masalah bekalan air bersih tetapi untuk projek permulaan ini, kerajaan dahulukan 30 sekolah yang bekalan air bersihnya terlalu teruk," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri Bersama Pesara-Pesara Kerajaan di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut bilangan sekolah rendah dan menengah serta jumlah pelajar yang terbabit daripada 30 sekolah terpilih itu. 

Muhyiddin yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini, berkata bekalan air masih menggunakan bekalan sedia ada ke sekolah berkenaan dan alat penapis air itu akan dipasang di luar sekolah iaitu sebelum air disalurkan ke tangki air sekolah. 

Beliau berkata, kos projek perintis yang sebelum ini tidak termasuk dalam bajet Kementerian Pelajaran itu melibatkan kira-kira RM100,000 tetapi diperuntukkan bagi kes yang agak cemas melibatkan pelajar sekolah berkenaan. 

Mengenai kerajaan Kelantan pimpinan PAS yang menganggap isu bekalan air bersih yang menghimpit rakyat sebagai remeh, Muhyiddin berkata pemimpin yang berfikiran demikian telah menyebabkan keadaan bekalan air bersih menjadi tenat. 

Beliau berkata, isu bekalan air bersih adalah isu besar yang selalu dibincangkan oleh rakyat Kelantan dan kerajaan negeri gagal mengatasi masalah tersebut walaupun sudah 22 tahun memerintah negeri ini sejak 1990. 

Katanya, kerajaan Kelantan tidak ada keupayaan untuk menyelesaikan masalah tersebut walaupun kerajaan pusat membantu dengan memberi kelulusan pinjaman tanpa faedah kira-kira RM618 juta. 

Beliau berkata, walaupun rakyat Kelantan banyak bersabar dengan isu tersebut tetapi apabila mencapai ke tahap krisis dan mengancam kesihatan rakyat, masalah itu perlu diselesaikan segera. 

Muhyiddin berharap rakyat memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk kembali memerintah negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 akan datang kerana kerajaan BN mempunyai keupayaan untuk menyediakan bekalan air bersih terbaik kepada rakyat negeri itu. 

Ditanya sama ada bekalan air bersih itu akan dimasukkan dalam manifesto pilihan raya umum nanti, beliau berkata "apa yang kita fikirkan penting untuk rakyat Kelantan termasuk bekalan air bersih akan diambil kira". 

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin berkata kerajaan amat menghargai jasa pesara kerajaan yang banyak menabur bakti untuk memajukan negara ini. 

Beliau berkata, kerajaan yang sentiasa prihatin dengan kebajikan pesara, membuat penambahbaikan kemudahan untuk mereka dari semasa ke semasa. 

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment