My Add

Wednesday 18 April 2012

4 pengawal keselamatan larikan wang tunai RM80,000 ditahan

JOHOR BAHRU, RABU, 18 April, 2012: Polis menahan empat pengawal keselamatan selepas melarikan wang tunai hampir RM80,000 milik sebuah pusat beli belah dalam serbuan di sebuah rumah di Tampoi, di sini, dua hari lalu. 

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Noor Hashim Mohamad, berkata kesemua mereka yang berkhidmat sejak lima bulan lalu, ditahan kira-kira jam 12 tengah hari selepas pusat beli belah itu membuat laporan polis beberapa jam sebelum itu.

"Kesemua mereka sepatutnya mendepositkan wang bernilai RM79,363 ke sebuah bank di kawasan Nusajaya pada 9 April lalu.

"Bagaimanapun, pengurusan pusat beli belah itu mendapati duit berkenaan tidak didepositkan selepas bank tersebut memaklumkan kepada mereka, Jumaat lalu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya, di sini, hari ini. 

Katanya, pihak polis hanya menemui RM31,000 daripada jumlah keseluruhan RM79,363 di rumah terbabit dan dipercayai salah seorang suspek mengambil wang itu untuk melangsaikan hutangnya. 

Beliau berkata, keempat-empat suspek yang berumur 22 hingga 27 tahun kini direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah. 

Katanya, mereka tidak mempunyai rekod jenayah namun ujian air kencing salah seorang daripada mereka didapati positif ganja. 

Dalam kes lain, Noor Hashim berkata pihaknya menumpaskan kumpulan samun berkawan dan curi kenderaan di sekitar Nusajaya selepas menahan sembilan lelaki di sebuah restoran di Taman Nusa Bestari, di sini Ahad lalu. 

Beliau berkata, pasukan khas yang ditubuhkan untuk memberkas kumpulan terbabit turut merampas kereta Proton Perdana V6 dan Proton Iswara yang dipercayai dicuri, dua motosikal dan sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah terbabit. 

"Hasil siasatan polis mendapati kumpulan ini aktif sejak enam bulan lalu dan terbabit dengan sembilan kes samun berkawan di sekitar Nusajaya. Modus operandi mereka adalah masuk ke dalam rumah mangsa dan mengacukan parang bagi menakutkan mangsa sebelum mengambil barang berharga serta kereta," katanya. 

Kesemua mereka yang berumur 20 hingga 31 tahun itu kini direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment