My Add

Wednesday 18 April 2012

A400M jimat masa perjalanan, kapasiti dua kali ganda

KUALA LUMPUR, RABU, 18 April, 2012: Pesawat Airbus Military A400M yang bakal diterima negara ini bermula Januari 2015 bukan saja mampu menggandakan kapasiti barang yang dibawa, malah menjimatkan masa perjalanan untuk melakukan misi bantuan kemanusiaan dan bencana.

Panglima Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad, berkata berbanding Hercules C130 yang dimiliki negara sebelum ini, A400M bergerak lebih laju dengan anggaran 400-420 knot sejam.

"Ia lebih laju setengah kali ganda daripada C130 yang kita ada sekarang. Dengannya, kita boleh sampai lebih cepat, terbang lebih jauh dan barang pun dua kali ganda lebih banyak boleh bawa berbanding C130. Sangat berbaloi memilikinya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menaiki pesawat Grizzly 4, satu daripada lima model pesawat A400M bersama wakil media di Pangkalan Udara Subang semalam.

Dalam perjalanan itu, wakil media turut dibawa ke Kuantan, Pahang bagi merasai pengalaman menaiki pesawat pengangkut tersebut sebelum berpatah balik ke Subang dengan hanya memakan masa 40 minit perjalanan pergi dan balik.

Dalam perjalanan itu, penumpang dapat merasai pesawat itu naik ke udara dan mendarat dengan lebih sempurna, kurang gegaran dan lebih senyap berbanding Hercules C130, serta ruangan yang lebih luas dan selesa.

Ackbal, yang turut memandu uji pesawat itu berkata, pesawat berkenaan mempunyai kelebihan daripada segi kawalan, yang banyak bergantung kepada sistem komputer, berbanding krew kokpit.

"Ia sebuah pesawat pengangkut yang kawalannya banyak bergantung kepada teknologi komputer, banyak guna sistem pengurusan. Kalau C130 kita perlukan tiga krew, tapi A400M hanya perlukan dua orang saja.

"Kawalannya semua pakai komputer, auto pilot, macam penerbangan komersil, yang mana ia menggalakkan responsif yang lebih bagus. Ia juga senang nak terbang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment