My Add

Thursday 26 April 2012

Ahmad Said kecewa LPT fasa 2 lewat siap

DUNGUN, KHAMIS, 26 April, 2012: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, melahirkan kekecewaannya terhadap Kementerian Kerja Raya kerana lewat membuka semula tender bagi menyiapkan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 membabitkan dua laluan yang masih terbengkalai. 

Beliau berkata, kementerian sepatutnya membuka tender untuk melantik semula kontraktor yang lebih berwibawa bagi membolehkan dua pakej yang belum siap iaitu pakej 7 laluan Paka-Kemaman sejauh 13.7 kilometer dan pakej 4 laluan Stesen Mardi-Ibok sejauh 3.7 kilometer dilaksana secepat mungkin.

"Saya sangat berharap agar kementerian dapat mempercepatkan proses membuka tender untuk melantik kontraktor lain bagi menyiapkan pembinaan jalan raya di dua laluan itu.

"Jika ia mengambil masa panjang, ini akan merugikan banyak pihak terutama kerajaan negeri kerana kos kewangan semakin meningkat selaras dengan kelewatan itu," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja bermula dari Plaza Tol Gemuruh, Kuala Terengganu hingga ke Plaza Tol Bukit Besi di sini, hari ini. 

Ahmad yang turut diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib, juga meninjau keseluruhan laluan LPT sejauh 63.4 kilometer itu, termasuk laluan yang masih dalam pembinaan di sepanjang susur keluar Bukit Besi-Kuala Dungun. 

Beliau berkata, jika kontraktor baru yang bakal dilantik itu memberi komitmen terhadap pembinaan dua laluan yang terbengkalai itu, ia dijangka siap dalam tempoh enam bulan sahaja.

"Ini kerana bagi laluan pakej 4, kerjanya sudah siap 60 peratus manakala bagi pakej 7, ia sudah siap 50 peratus," katanya. 

Sehubungan itu, kerajaan negeri mensasarkan pembukaan LPT itu sepenuhnya sebelum akhir tahun depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment