My Add

Monday 16 April 2012

Akta Hasutan akan dikaji semula secara komprehensif: Najib

KUALA LUMPUR, ISNIN, 16 April, 2012: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Hasutan, tanpa mengenepikan apa-apa opsyen. 

Perdana Menteri berkata pembentangan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan 2012 yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, tidak bermakna berakhirnya usaha yang telah dimulakan sejak tujuh bulan lalu.

"Pastinya, kerajaan akan meneruskan usaha perubahan dan pembaharuan politik yang mulia ini," katanya ketika membentangkan rang undang-undang berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Pada 16 September tahun lalu sempena Hari Malaysia, Najib mengumumkan inisiatif Program Transformasi Politik yang melibatkan pembatalan tiga Proklamasi Darurat, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri, penggubalan Akta Perhimpunan Aman, termasuklah pemindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. 

Najib berkata paling utama tiga prinsip perlu kekal dalam sebarang evolusi kerangka perundangan baru itu, iaitu menangani perbuatan dan perlakuan yang mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana raja. 

Selain itu, katanya, ia bagi menangani perbuatan dan perlakuan yang mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di negara ini. 

"Ketiga, menangani perbuatan dan perlakuan yang mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 151, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan," katanya. 

Najib berkata kerajaan juga akan menggubal rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang mengekalkan janji kerajaan untuk menghapuskan keperluan pembaharuan tahunan lesen penerbitan. 

Katanya, Majlis Media akan ditubuhkan yang akan melaksanakan kawalselia kendiri industri. 

"Sememangnya, kita tidak takut dan gentar bagi bersaing dalam gelanggang demokrasi, kita tidak takut berbanding idea serta dasar dengan sesiapa pun. Kita percaya kita telah melakukan yang terbaik demi rakyat Malaysia. Kita akan terus melaksanakan yang terulung untuk rakyat Malaysia," katanya. 

Najib berkata memang ternyata, tugas yang dilaksanakan masih belum selesai dan kerajaan perlu berikhtiar dengan lebih keras bagi memastikan anak-anak Malaysia hidup dalam sebuah negara yang aman sejahtera, makmur lagi bebas daripada ketakutan, kegundahan dan kebimbangan. 

"Pokoknya, kita sedang mencipta sebuah negara di mana keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menjadi payung kepada setiap individu, agar bebas menyuarakan pendapat, mengkritik, menyokong, berbeza pandangan, bersiasah, mahupun menganggotai apa-apa pertubuhan. 

"Pendek kata, tidak ada sesiapa akan dihukum hanya kerana menjalankan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment