My Add

Wednesday 18 April 2012

APMM tahan dua bot nelayan Vietnam

PASIR PUTEH, RABU, 18 April, 2012: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot dan 18 nelayan Vietnam ketika sedang menangkap sotong di perairan negara ini, malam tadi. 

Komander APMM Daerah Tok Bali, Zainin Abdul Majid, berkata kedua-dua bot berkenaan ditahan secara berasingan iaitu jam 10.50 malam dan 11.15 malam, kira-kira 109 batu nautika, Timur Laut Tok Bali.

"Bot dan nelayan berkenaan ditunda ke jeti operasi Maritim Tok Bali untuk tindakan pendakwaan kerana menceroboh perairan Malaysia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat APMM Tok Bali di sini, hari ini.

Beliau berkata, nelayan terbabit yang berumur antara 17 dan 51 tahun, ditahan sebuah kapal APMM yang disertai 16 anggota diketuai Kdr Norhafizi Mohd Rafek. 

Zainin berkata, kedua-dua bot serta alat menangkap ikan bernilai RM800,000 dirampas. 

Katanya, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan RM100,000 atau enam bulan penjara setiap awak. 

Beliau berkata, dari Januari hingga 17 April lalu sejumlah 10 kes membabitkan 118 nelayan Vietnam dan Thailand ditahan kerana menceroboh perairan negara ini. 
Zainin berkata, pencerobohan itu didorong perairan negara yang mempunyai banyak ikan berbanding dengan negara mereka yang semakin pupus disebabkan tiada kawalan penangkapan sebagaimana dilakukan di negara ini. 

Katanya, keadaan masih terkawal hasil rondaan yang sentiasa dilakukan APMM di bawah Ops Perkasa Timur. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment