My Add

Tuesday 17 April 2012

Azmin, Tian Chua nafi persenda Raja ketika pertabalan Agong

KUALA LUMPUR, ISNIN, 16 April, 2012: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Presiden parti itu, Tian Chua menafikan dakwaan mereka mempersenda dan mengejek Raja Melayu pada majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Rabu lalu. 

Mereka mendakwa, tuduhan itu serangan peribadi oleh pihak tertentu demi kepentingan politik.

Azmin mempersoalkan bagaimana Dr Rahman Kadir yang dikatakan bertugas sebagai pegawai perubatan pada majlis berkenaan boleh duduk di Balairong Seri dan mendakwa melihat sendiri kejadian itu.

“Saya tidak tahu apa tohmahan yang dibuat dan ini jelas propaganda UMNO serta Barisan Nasional yang gagal menjawab isu rakyat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen. 

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan Dr Rahman mendakwa melihat Ahli Parlimen pembangkang mempersenda dan mengejek Raja Melayu pada majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. 

Sementara itu, Tian Chua, mendakwa penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara itu seperti yang dicadangkan beberapa pihak tidak berasas kerana ia tuduhan tanpa saksi. 

Bagaimanapun, katanya, beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar yang menyiarkan berita itu yang didakwa beliau ditulis berdasarkan blog tanpa menyiasat sumber sebenar berita. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment