My Add

Wednesday 18 April 2012

Bekas datuk bandar antara cadangan calon BN

KUALA LUMPUR, SELASA, 17 April, 2012: Ahli akademik, bekas Datuk Bandar, tokoh perbankan dan ahli korporat adalah antara 'orang luar' yang dicadangkan beberapa bahagian UMNO sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Turut dicadangkan pemimpin NGO, pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pegawai kanan kerajaan sedang bertugas dan beberapa bekas penjawat awam yang pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Sumber Barisan Nasional (BN) negeri Perak berkata, sekurang-kurangnya tiga pegawai kanan kerajaan yang kini memegang jawatan pengarah di negeri dan Pusat antara mereka yang berpotensi diletakkan sebagai calon BN.

“Mereka kini memegang jawatan pengarah serta berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan mungkin bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen,” katanya hari ini.

Beberapa bahagian UMNO di Negeri Sembilan pula dikatakan mencadangkan tokoh korporat yang memegang jawatan tinggi sebuah bank dan seorang wanita yang juga aktivis pertubuhan belia.

Di Sabah pula, beberapa muka baru daripada golongan profesional, seorang wanita berlatar belakang perundangan dan aktif dalam NGO tempatan, seorang bekas Datuk Bandar serta pegawai daerah antara yang dicadangkan bertanding kerusi DUN.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengesahkan perkara itu, berkata berdasarkan senarai yang diterima memang ada yang mencadangkan pemimpin NGO yang menyokong kerajaan, manakala sektor korporat pula membabitkan pengurusan kanan GLC serta beberapa bekas penjawat awam yang pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan. 

Beliau berkata, trend berbeza kali ini menunjukkan keterbukaan beberapa bahagian UMNO, sekali gus membuktikan semangat untuk memastikan kemenangan BN amat tinggi.

Katanya, matlamat perjuangan UMNO dan BN untuk membela nasib rakyat dapat dicapai jika semua kepemimpinan bahagian bersikap terbuka dan menolak kepentingan diri.

Bagaimanapun, katanya, nama yang diserahkan itu akan melalui proses saringan membabitkan pelbagai aspek bagi memastikan ia memenuhi kriteria yang dikehendaki kepemimpinan parti.

“Ada juga bahagian yang menyerahkan sehingga 20 nama, walaupun kita hanya minta tiga saja. Bilangan calon yang banyak tidak menjamin individu yang disenaraikan dipilih kerana mungkin semua yang disenaraikan itu tidak memenuhi kriteria,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, Datuk Seri Najib Razak berhak menolak nama calon yang dikemukakan parti komponen BN jika tidak memenuhi ciri serta kriteria calon boleh menang dan tiada siapa boleh mempertikaikan keputusan muktamad Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN.

“Setiap keputusan tentunya bersebab, oleh itu yang penting setiap parti komponen perlu memainkan peranan dengan mengemukakan senarai calon paling layak untuk memikul tanggungjawab besar ini. Penelitian rapi dibuat dalam memilih calon Parlimen dan DUN kerana BN mahu memastikan calon mampu berkhidmat dan melaksanakan tugas dengan berkesan untuk rakyat,” katanya. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment