My Add

Monday 23 April 2012

BN Selangor tubuh Pakar sebagai medium komunikasi

SHAH ALAM, ISNIN, 23 April, 2012: Barisan Nasional (BN) Selangor menubuhkan Pusat Khidmat Rakyat Barisan Nasional (Pakar) yang berfungsi sebagai medium komunikasi dan perkhidmatan parti itu kepada rakyat.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, Pakar yang terletak di Tingkat 9, Bangunan UMNO Selangor di sini telah pun beroperasi dan boleh dihubungi di talian 1-300-22-2626 pada bila-bila masa.

Beliau berkata, orang ramai boleh membuat sebarang aduan berhubung wakil rakyat di kawasan mereka, isu seperti kegagalan pengurusan masalah sampah, pertanyaan mengenai program BN seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia serta maklumat berkaitan parti itu.

"Orang ramai boleh buat aduan atau sebarang pertanyaan berhubung parti dengan menelefon dan bercakap dengan wakil kami yang bertugas dari pukul 9 pagi hingga 6 petang dari Isnin sehingga Jumaat atau meninggalkan pesan.

"Setiap maklumat yang diperoleh akan diberi perhatian, termasuk mengambil tindakan yang sewajarnya serta dimajukan kepada pihak berkenaan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Zin berkata, selain sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13, Pakar akan terus memainkan peranan sebagai pusat sehenti yang menjadi medium penghubung antara parti dan rakyat.

Beliau berkata selain menerima panggilan serta aduan, Pakar juga akan membuat panggilan kepada rakyat mengikut data yang diperoleh dari setiap bahagian bagi mendapatkan maklumat berhubung program yang dianjurkan oleh parti itu serta respons berkaitan pemimpin masing-masing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment