My Add

Tuesday 17 April 2012

Cari ilmu jihad utama ummah: Muhyiddin Yassin

MUHYIDDIN berbual dengan Dr Ahmad Azrin (tiga dari kiri) serta Juhasni (dua dari kanan) selepas majlis Perasmian Anugerah Tesis Terbaik Yayasan Nurul Yaqeen, di Putrajaya, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Oleh Sazarina Shahrim 

PUTRAJAYA. ISNIN, 16 April, 2012:: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, umat Islam seharusnya menjadikan pencarian ilmu sebagai jihad paling utama dalam usaha memajukan ummah bagi mengelak daripada tercicir dalam mendepani era globalisasi sekarang.
Timbalan Perdana Menteri berkata, persaingan global yang semakin sengit perlu disahut dengan meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran.

Beliau berkata, Islam mementingkan pencarian ilmu serta pengamalan ilmu dan dua perkara itu tidak boleh dipisahkan dalam agama.

“Mahasiswa di institusi pengajian tinggi khususnya mesti digalakkan untuk mempelajari, mengkaji dan menghasilkan penyelidikan berkualiti supaya dapatan kajian boleh memberi manfaat kepada masyarakat, negara dan umat seluruhnya,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Anugerah Tesis Terbaik Yayasan Nurul Yaqeen di sini, semalam.

Anugerah tesis terbaik peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dimenangi Dr Ahmad Azrin Adnan dari Universiti Sains Malaysia (USM) manakala bagi kategori peringkat Ijazah Sarjana diraih Juhasni Juperi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Muhyiddin yang juga Pengerusi Yayasan Nurul Yaqeen berkata, antara cabaran kepada ilmuwan Islam masa kini adalah menyebarkan pandangan sarwajagat Islam (Islamic worldview) yang tepat bahawa Islam adalah agama syumul dan merangkumi setiap aspek kehidupan manusia.

“Bagi menzahirkan ciri ilmu Islam yang syumul ini, maka kajian dan penyelidikan rentas disiplin antara ilmu Islam dan moden dalam pelbagai bidang mesti diteruskan.

“Hari ini, kita dapat saksikan Malaysia antara negara yang mendahului negara lain dalam mengembangkan disiplin ilmu Islam dalam bidang pengajian ilmu moden seperti undang-undang dan ekonomi,” katanya.

Malah, katanya, ramai sarjana tempatan yang menjadi pakar rujukan pada peringkat antarabangsa dalam bidang itu.

“Kejayaan ini adalah usaha sarjana kita dalam melakukan kajian dan penyelidikan secara rentas disiplin antara ilmu Islam dan moden.

“Kemajuan yang dicapai dalam bidang berkaitan adalah antara kelebihan yang ada pada universiti kita yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan umat Islam di seluruh dunia,” katanya. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment