My Add

Friday 20 April 2012

Chong Wei perjelas sebab tak hadir majlis anugerah: Zolkples

thumbnail
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 April, 2012: Pemain perseorangan badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei hari ini memberi penjelasan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong sebab beliau tidak menghadiri Majlis Anugerah Sukan Negara pada Selasa lalu.

Zolkples berkata, Chong Wei sebenarnya sudah memaklumkan kepadanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa beliau tidak sihat untuk menghadiri majlis itu.

"Sebenarnya berlaku salah faham antara saya dan Chong Wei. Saya terlalu sibuk dengan penganjuran majlis itu seperti 'rehearsal' dan sebagainya, sehingga tidak menyedari Chong Wei ada menghubungi saya melalui SMS menyatakan beliau tidak dapat hadir kerana tidak sihat," katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu, Zolkples dan Chong Wei mengadakan pertemuan tertutup di pejabatnya di Bukit Jalil di sini.

Selain itu, Zolkples berkata, MSN juga akan membawa Chong wei menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah tidak lama lagi bagi memberi penjelasan mengenai ketidakhadirannya pada majlis itu.

Sementara itu, Chong Wei berkata, beliau menyedari pentingnya majlis itu dengan Tuanku Abdul Halim berangkat menghadirinya.

"Saya tahu anugerah Sukan MSN penting tapi saya memang demam. Sebenarnya pada hari itu saya berniat mahu pergi tetapi keadaan demam saya bertambah teruk pada waktu petang," katanya yang juga penerima anugerah Olahragawan Kebangsaan 2011 pada majlis yang sama.

Chong Wei diwakili abangnya, Lee Chong Eng pada majlis Selasa lalu.

Chong Wei menjelaskan walaupun demam, beliau tetap menjalani latihan pada keesokannya kerana perlu mengeluarkan peluh.

Atlet berusia 30 tahun itu memohon media supaya memberi kerjasama dan sokongan kepadanya berdepan cabaran pada Sukan Olimpik di London.

"Saya mahu lupakan isu ini dan fokus pada Olimpik. Tekanan buat saya memang tinggi jadi saya harap media boleh beri kerjasama dan bantu saya," katanya yang juga atlit harapan negara untuk meraih emas pertama pada temasya itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment