My Add

Friday 20 April 2012

DBKL tolak permohonan JMM guna Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 April, 2012:: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) untuk menggunakan Dataran Merdeka bagi mengadakan Perhimpunan Rakyat membantah Seks Bebas serta lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) yang dijadual esok. 

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, berkata permohonan itu ditolak kerana aktiviti tersebut tidak bersesuaian dengan ketetapan polisi penggunaan Dataran Merdeka yang bertaraf nasional seperti sambutan Hari Kebangsaan, Hari Wilayah Persekutuan dan Tahun Baru.

"Selain itu, Konsert Diraja akan diadakan di Dataran Merdeka esok bersempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan segala persiapan rapi sedang dijalankan bagi tujuan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata, Presiden JMM, Azwanddin Hamzah, menghantar surat permohonan itu kepadanya bertarikh 10 April 2012 tetapi permohonan itu ditolak oleh Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan DBKL, Datuk Normah Malik, menerusi surat bertarikh 16 April 2012. 

Azwanddin bagaimanapun menyerahkan surat rayuan kepada Ahmad Fuad bertarikh 19 April 2012 dengan menyatakan sebab tertentu mengapa permohonan JMM itu wajar dipertimbangkan. 

"Saya sudah menemui beliau dan membuat keputusan bahawa permohonan itu tidak boleh dipertimbangkan kerana menjadi polisi DBKL untuk tidak membenarkan perhimpunan berbentuk bantahan dan tunjuk perasaan diadakan di Dataran Merdeka yang mempunyai nilai sejarah," katanya. 

Ahmad Fuad berkata, keputusan itu selaras dengan Undang-Undang Kecil 14, Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Dataran Merdeka) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992. - BERNAMA

1 comment:

  1. Isu ni dah senyap JMM sengaja nak bagi membara kembali, Majoriti masyarakat malaysia dah malas nak bincang benda ni. Dah tak ada cara lain lagi ke nak menonjol diri,......

    ReplyDelete