My Add

Saturday 21 April 2012

Demi keselesaan rakyat - PM

Najib Tun Razak tertarik melihat replika kad debit Maybank Manchester United yang ditunjukkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (tengah) pada majlis pelancaran kad tersebut di gerai pameran Maybank pada Minggu Saham Amanah Malaysia 2012 di Kompleks Sukan Likas, semalam. Turut kelihatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. - utusan/Abdul Razak Latif

KOTA KINABALU, JUMAAT, 20 April, 2012: - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan yang dipimpin hari ini akan terus berusaha mencipta pelbagai kejayaan untuk keselesaan rakyat bagi mencapai negara maju menjelang 2020.

Najib berkata antara kejayaan mutakhir menerusi pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk kebaikan rakyat iaitu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang telah diagihkan kepada 4.12 juta isi rumah di seluruh negara setakat ini.

Beliau berkata, sejumlah 5.3 juta pelajar sekolah rendah serta menengah turut mendapat bantuan persekolahan berjumlah RM100 setiap orang dan tidak ketinggalan 1.3 juta mahasiswa institusi pengajian tinggi awam, matrikulasi dan pelajar tingkatan enam menerima bantuan baucar buku RM200 1Malaysia.

"Kita beriltizam supaya kejayaan ini dapat kita panjangkan kerana kita mempunyai misi yang besar dan misi kita adalah untuk membawa negara kita atas perjalanan... sebuah perjalanan yang pada penghujung perjalanan yang membawa kepada sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2012 di Kompleks Sukan Likas, dekat sini, hari ini.

Najib berkata kejayaan yang diharapkan itu bukan suatu janji mahupun impian kosong atau tidak berpijak di bumi yang nyata, sebaliknya kerajaan berjaya membuktikan kejayaan negara menerusi melonjaknya pendapatan berkapita negara daripada AS$6,700 (RM23,450) pada 2009 kepada AS$9,700 (RM33,950) pada tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau yakin kejayaan itu "menggambarkan perjalanan" untuk menuju kepada sebuah negara yang berpendapatan tinggi kian hampir.

"Ini menggambarkan bahawa perjalanan kita kian meyakinkan kita dan menyerlahkan lagi pengharapan bahawa jika meneruskan perjalanan ini, jika kita percaya agenda dan dengan memberi sokongan padu, insya-Allah penghujung jalan itu akan kesampaian jua dalam tempoh waktu yang ditetapkan," katanya.

Mengenai MSAM 2012, katanya, program itu diharap dapat meningkatkan pendidikan dan pengetahuan kepada rakyat khususnya di Sabah tentang kepentingan peluang pelaburan dan sifat menabung yang perlu diamalkan untuk menjamin masa depan yang lebih baik.

"Saya percaya MSAM akan meningkatkan celik pelaburan dan menggalakkan sifat menabung agar dapat diterapkan ilmu pengetahuan pelaburan di kalangan rakyat Sabah," katanya.

MSAM kali ini yang berlangsung selama sembilan hari bermula hari ini dibuka secara percuma kepada orang ramai dari 9 pagi hingga 9 malam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment