My Add

Thursday 26 April 2012

Doktor guna manual PERKESO untuk tentukan hilang upaya

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 April, 2012: Mulai 1 Jun, semua doktor di hospital kerajaan akan menggunakan Manual Panduan Bagi Taksiran Hilang Upaya Berdasarkan Pekerjaan terbitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata manual itu antara lain akan menjadi rujukan tambahan bagi jemaah doktor dan jemaah doktor rayuan PERKESO dalam membuat keputusan berhubung proses menentukan hilang upaya dan keilatan pencarum pertubuhan itu.

"Manual ini menghubungkaitkan antara hilang upaya seseorang dengan tahap keupayaan fizikal dan pekerjaan yang mampu atau tidak mampu dilakukan (pencarum).

"Ini menjamin satu keputusan yang lebih adil kepada pekerja selain konsep keselamatan dan keadilan sosial kepada pekerja yang mengalami hilang upaya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan manual yang dihasilkan PERKESO dengan kerjasama doktor pakar hospital kerajaan dan swasta. 

Beliau berkata, PERKESO akan melatih doktor di 57 hospital kerajaan menggunakan manual itu secara berperingkat mulai Mei ini. 

Terdahulu, dalam ucapannya, Subramaniam berkata manual itu adalah penambahan kepada garis panduan sedia ada seperti "Guideline on Impairment and Disability Assessment of Traumatic Injuries" dan "Occupational Diseases and Invalidity dan Guidelines on the Diagnosis of Occupational Diseases". 

"Ia menambah baik penilaian keilatan daripada aspek penilaian kemampuan pekerjaan yang merangkumi 10 kategori pekerjaan utama dan diperincikan kepada 140 jenis sub pekerjaan termasuk pekerja am, operator makanan, operator kilang dan pekerja pembinaan bangunan," katanya.

Subramaniam berkata, PERKESO menerima sebanyak 13,184 permohonan skim pencen ilat pada tahun lalu berbanding 11,916 kes pada 2010 dan 10,366 kes pada 2009. 

"Berikutan pertambahan permohonan ini setiap tahun, PERKESO perlu membuat penilaian yang lebih sistematik dan komprehensif," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment