My Add

Wednesday 18 April 2012

DSA: Kontrak, MoU pertahanan bernilai lebih RM4.7 bilion

KUALA LUMPUR, RABU, 18 April, 2012: Sebanyak 15 kontrak perolehan bekalan senjata, kelengkapan dan memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM4.76 bilion dimeterai pada persidangan dan pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2012 (DSA 2012) di sini hari ini. 

Majlis menandatangani kontrak dan MoU membabitkan Kementerian Pertahanan dan syarikat pertahanan tempatan dan luar negara itu disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad.

Daripada RM4.76 bilion itu, kontrak bernilai RM357.2 juta dianugerah kepada lima syarikat tempatan dan satu dari luar negara iaitu, Russia.

Ia membabitkan pembekalan peluru untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada SME Ordnance Sdn Bhd bernilai RM235.3 juta dan pembekalan grenad 40mm anti kereta kebal untuk tentera darat daripada Destini Prima Sdn Bhd bernilai RM7.9 juta. 

Syarikat Teguh Hiasan Sdn Bhd memperolehi kontrak membekal peluru roket anti struktur kepada tentera darat bernilai RM5.2 juta, Santun Jendela Sdn Bhd pula mendapat kontrak pembekalan grenad pelepas asap 81mm bagi tentera darat bernilai RM2.3 juta dan Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd yang bekerjasama dengan syarikat dari Australia Insitu Pacific Pty Ltd pula memperolehi kontrak RM10 juta bagi perolehan pesawat tanpa pemandu ScanEagle. 

Syarikat pertahanan Russia, Rosoboronexport pula memperolehi kontrak bernilai RM106.4 juta bagi membekalkan dan menghantar misil jenis serangan 'udara ke udara' untuk kegunaan 35 unit Sukhoi SU-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

MoU ditandatangani di antara syarikat dan syarikat, Masterplan Consulting Sdn Bhd dan Association of Italian Companies on Aerospace, Defence and Security (AIAD), perjanjian persefahaman untuk menjalin kerjasama dalam sistem integrasi, teknologi pembuatan komposit, kotak gera dan enjin, bandar pintar, teknologi medan peperangan, perkapalan dan aeroangkasa bernilai RM4 bilion. 

Masterplan Consulting juga memeterai MoU dengan Huawei Technologies (M) Sdn Bhd bagi kerjasama perkongsian membangunkan sistem pengawasan dan infrastruktur telekomunikasi bernilai RM200 juta. 

Masterplan Consulting dan ZKZ Technologies Sdn Bhd dan McAfee (M) Sdn Bhd pula menandatangani MoU untuk kerjasama dalam sistem keselamatan rangkaian bernilai RM60 juta. 

MoU di antara Masterplan Consulting dan Stratsec.Net Sdn Bhd adalah untuk perkhidmatan perundingan keselamatan siber bernilai RM30 juta. 

Masterplan Consulting dengan Caibros International Sdn Bhd dan China Green Pte Ltd akan menjalin kerjasama membangunkan Taman Teknologi yang bersih dan mesra alam bernilai RM20 juta. 

Metamorphise Resources Sdn Bhd memeterai MoU dengan Tactical Parachute Delivery System Inc bernilai RM100 juta untuk Metamorphise Resources dilantik sebagai pengedar membekal payung terjun dan peralatannya kepada kerajaan Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment