My Add

Wednesday 25 April 2012

FELCRA agih RM20.6 juta dividen di Selangor

BANTING, RABU, 25 April, 2012: FELCRA Bhd mengagihkan dividen tahun lalu sebanyak RM20.6 juta kepada 4,170 peserta yang terbabit dalam projek pembangunan tanah yang dilaksanakan agensi kerajaan itu di Selangor. 

Pengurus Besar Wilayah Tengah FELCRA Bhd, Hazrinor Hisham Harun, berkata peningkatan jumlah pembayaran dividen daripada RM19.03 juta pada 2010 itu adalah hasil daripada harga sawit yang baik iaitu RM780 setan untuk buah tandan segar selain kualiti tuaian yang meningkat pada 2011.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Dividen Akhir 2011 kepada peserta Projek FELCRA Bhd Negeri Selangor di Bandar Sungai Emas di sini hari ini.

Hazrinor berkata, tahun ini 2012 agak mencabar bagi FELCRA untuk mengekalkan prestasinya membayar dividen yang lebih baik kepada peserta kerana kos input pertanian seperti baja dan racun yang meningkat selain kemungkinan cadangan pelaksanaan gaji minimum pekerja mulai tahun ini. 

Beliau juga berkata, beliau berharap harga kelapa sawit semasa yang walaupun rendah sedikit pada tahun lalu, tidak turun di bawah paras RM500 setan bagi buah tandan segar kerana agak sukar untuk mengimbangi kos yang semakin meningkat pada kadar jualan yang rendah. 

"Hari ini adalah bayaran keempat dividen berjumlah RM4 juta kepada peserta selepas tiga bayaran sebelum ini untuk dividen 2011," katanya. 

Replika cek diserahkan kepada wakil peserta oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Sepat, Datuk Dr Karim Mansor, yang mewakili Ahli Parlimen Sepang, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed. 

Terdapat 4,170 peserta projek FELCRA yang mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan seluas 3,771.8 hektar di Selangor yang dibahagikan kepada enam kawasan iaitu Banting, Batu 8 Sijangkang, Sungai Choh, Telok Menteri, Lembah Bernam dan Semungkis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment