My Add

Wednesday 18 April 2012

Henti berkhemah isu PTPTN

KUALA LUMPUR, SELASA, 17 April, 2012:: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka mendesak supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan supaya menghentikan segera tindakan mereka kerana suara mereka sudah pun didengari.

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana dataran berkenaan juga digunakan untuk pelbagai acara termasuk Konsert Diraja pada 21 April ini sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-14.

Katanya, mahasiswa harus menghormati tuntutan orang lain.


“Isu PTPTN memang dekat terutama kepada pelajar, oleh itu saya memahami sentimen mereka dalam isu ini.

“Mahasiswa juga perlu menghormati tugas polis dan petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang amat proaktif dalam menangani isu ini, jadi mereka juga perlu hormat orang lain,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Sabtu lalu, kira-kira 300 mahasiswa berarak di ibu negara menuntut PTPTN dimansuhkan dan mendirikan khemah di Dataran Merdeka walaupun DBKL merobohkan khemah mereka kelmarin.

Saifuddin berkata, meskipun menghormati dan menyedari bahawa perhimpunan adalah sebahagian dari sistem demokrasi, ia tetap ada batasnya.

“Apa yang dilakukan kumpulan pelajar terbabit adalah hak mereka, tetapi tindakan menggalungkan bunga pada potret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dikutuk sekeras-kerasnya.

“Peranan kerajaan adalah untuk memastikan kaedah dan pengurusan PTPTN dapat ditingkatkan, malah beberapa syor termasuk daripada Pemuda UMNO melalui perbincangan meja bulat juga diteliti.

“Saya bagaimanapun tidak bersetuju dengan desakan untuk memansuhkan PTPTN kerana saya dapat rasakan tindakan itu dibuat melulu,” katanya. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment