My Add

Sunday 15 April 2012

Hina raja-raja Melayu: Hisham sokong tubuh suruhanjaya


KLUANG, AHAD, 15 April, 2012: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menyokong cadangan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan beberapa pemimpin pembangkang mempersendakan raja-raja Melayu ketika istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 baru-baru ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, penubuhan itu wajar bagi memastikan duduk sebenar dakwaan tersebut memandangkan “tuan punya badan” menafikan.

"Kalau kita siasat sendiri, mereka kata tidak adil. Tidak ada sebab mengapa suruhanjaya tidak boleh diadakan kalau itu dapat meyakinkan orang ramai bahawa institusi raja perlu dihormati,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung penubuhan suruhanjaya itu bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong sekalipun ada khabar angin menyatakan beliau akan bertanding di Kota Tinggi.

Katanya, beliau mahu meneruskan tanggungjawab membela nasib masyarakat di Sembrong yang telah mengundinya pada pilihan raya umum lepas.

"Hari ini jelas, orang tahu saya tidak akan ke mana, tetapi kedudukan calon itu terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukan,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment