My Add

Tuesday 17 April 2012

Isu raja: Propaganda amat jelik UMNO-BN, kata Azmin Ali

KUALA LUMPUR, ISNIN, 16 April, 2012: Tiga ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa terlibat mempersendakan pemimpin negara dan Raja-raja Melayu semasa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Rabu lalu enggan menjawab secara jelas atau setidak-tidaknya menafikan yang mereka terlibat dalam insiden itu.

Azmin Ali dan Tian Chua dari PKR serta Khalid Samad dari Pas sebaliknya mempersoalkan kesahihan dakwaan serta kredibiliti Dr Rahman Kadir, seorang pegawai perubatan yang mendedahkan mengenai kejadian pada hari Rabu lalu itu.

Malah, Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR seperti biasa terus menyalahkan UMO dan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya bertanggungjawab dalam menyebarkan perkara berkenaan.

"Pertama saya tidak tahu apa tohmahan yang dibuat oleh mereka namun daripada maklum balas yang saya terima, ini jelas satu propaganda yang amat jelik oleh UMNO dan BN.

"Siapa doktor ini? Bagaimana pegawai perubatan boleh duduk dalam Balairong Seri Istana Negara?" katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Dr. Rahman melalui akaun Facebook mendakwa Azmin, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khaled terlibat dalam kejadian pada pagi hari Rabu itu.

Berikutan itu, Utusan Malaysia yang memuatkan berita tersebut di muka depan dua hari kemudian mengundang reaksi pelbagai pihak, antaranya mahu tindakan tegas diambil ke atas individu terlibat serta mencadangkan sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuh bagi menyiasat insiden berkenaan.

Sementara itu, Tian Chua menolak hasrat pihak tertentu berhubung penubuhan Suruhanjaya Diraja kerana mendakwa Dr Rahman tidak mempunyai bukti kukuh atau saksi berkaitan kejadian tersebut. 

"Bagaimana apabila seorang tuduh, tidak ada saksi, tidak ada `substance' dalam tuduhan mereka dan tiba-tiba nak buat Suruhanjaya Diraja, buat apa?" katanya, yang bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia kerana menerbitkan berita itu tanpa memeriksa kesahihannya. 

Khaled pula mendakwa Dr Rahman mempunyai imaginasi tinggi apabila berupaya "membayangkan" perbualan anggota Parlimen pembangkang di majlis itu kerana kedudukan dalam Balairong Seri tidak membolehkan sebarang individu biasa mendengar butiran perbualan.

"... atau mungkin juga Dr Rahman ini terkeliru kerana sebelum Raja-raja Melayu dan pembesar negara masuk ke Balairong Seri, anggota Parlimen pembangkang yang telah menunggu selama dua jam ada berbual mengenai perkara lain," katanya. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment