My Add

Tuesday 17 April 2012

Jakim tubuh IKSIM

Oleh MD. AZRIN ROSLY

KUALA LUMPUR, ISNIN, 16 April, 2012: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menubuhkan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) bagi menangani cabaran dan ancaman yang menggugat akidah umat Islam di negara ini termasuk berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penubuhan institut itu sudah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dan dijangka beroperasi hujung tahun ini.

“Kita sedang mencari tempat dan dana bagi memulakannya yang dijangka pada tahun ini kerana tidak memerlukan modal yang besar. IKSIM akan menjadi badan yang akan memikirkan pendekatan untuk menghadapi serangan terhadap Islam pada masa akan datang seperti isu LGBT,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan surat lantikan kenaikan pangkat dan perjumpaan bersama pegawai lantikan baru Jakim di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Mohamad Nordin Ibrahim.

Menurut Jamil Khir, penubuhan badan itu penting kerana Islam mula dicabar dengan ancaman langsung yang bertentangan dengan akidah seperti kumpulan LGBT.

Katanya, Malaysia adalah antara 19 negara menolak resolusi yang diluluskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 17 Jun lepas membabitkan pengiktirafan kedudukan LGBT dan perkahwinan sejenis.

Justeru jelasnya, agensi agama di negara ini perlu berkembang maju bagi menghadapi cabaran bentuk baru pada masa kini dan akan datang walaupun ditekan oleh anasir dalam dan luar negara.

Mengenai jumlah kenaikan pangkat itu katanya, ia memberi gambaran bahawa ruang lingkup untuk bertugas di Jakim mempunyai potensi dan peluang yang luas untuk pelajar jurusan agama khasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment