My Add

Tuesday 24 April 2012

Jangan rasa selesa - TPM


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima cenderahati daripada, Pengerusi ASLI, Tan Sri Jeffrey Cheah (dua dari kiri) pada Persidangan Pendidikan Malaysia ke-16 anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sairien Nafis

PETALING JAYA 23 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak mahu dilihat berada dalam keadaan selesa meskipun kajian yang dijalankan oleh Introspek Asia baru-baru ini mendapati 55 peratus rakyat Malaysia mengakui sistem pendidikan negara ini setanding dengan negara luar.

Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri berkata, hasil kajian tersebut harus menjadi pendorong serta pemangkin kepada pihak kerajaan untuk terus memperbaiki serta menaik taraf sektor berkenaan di negara ini.

Usaha itu perlu katanya, apatah lagi dalam keadaan Malaysia sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa dan pada masa yang sama sedang menuju ke arah pembentukan sebuah negara maju.

‘‘Tidak dinafikan hasil kajian yang dijalankan oleh Introspek Asia ini menunjukkan rakyat Malaysia begitu positif terhadap sistem pendidikan negara dan ini sebenarnya adalah hasil kerja keras semua guru dan para pendidik.

‘‘Namun, hasil kajian ini tidak harus meletakkan diri kita dalam keadaan selesa. Kita harus sedar bahawa kita terpaksa berhadapan dengan cabaran-cabaran semasa yang begitu hebat dan ini memerlukan kerajaan sentiasa membuat penambahbaikan terhadap sistem pendidikan di negara ini,’’ katanya.

Beliau berucap pada Sidang Kemuncak Pendidikan anjuran Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI) kali ke-16 bertemakan ‘Transformasi Dalam Gerakan: Peluang dan Cabaran Dalam Pendidikan Malaysia’ di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Pengerusi ASLI, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah dan Ketua Pegawai Eksekutif ASLI, Datuk Dr. Michael Yeoh.

Selain itu Muhyiddin berkata, berdasarkan hasil kajian yang dilakukan oleh Introspek Asia itu turut mendapati 35 peratus rakyat negara ini mengakui sistem pendidikan di Malaysia adalah lebih baik daripada negara-negara membangun yang lain.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, matlamat untuk melahirkan sumber manusia bertaraf dunia hanya boleh direalisasikan melalui satu sistem pendidikan yang maju serta berkualiti.

‘‘Atas sebab itu kerajaan dari semasa ke semasa komited melakukan penilaian semula terhadap kurikulum, latihan guru-guru, kualiti sekolah dan kepimpinan di peringkat sekolah.

‘‘Bukan itu sahaja perkara yang sama juga dilakukan di peringkat pengurusan tertinggi di Kementerian Pelajaran sehinggalah di peringkat guru yang bertugas di dalam kelas,’’ katanya lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment