My Add

Monday 16 April 2012

Kaji sumbangan domestik terhadap ekonomi negara

KUALA LUMPUR, ISNIN, 16 April, 2012: Kerajaan mesti mengkaji kaedah untuk meningkatkan sumbangan penggunaan domestik kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan pada masa yang sama memastikan ekonomi kurang bergantung ke atas pasaran eksport, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Beliau berkata bagi meningkatkan penyertaan penggunaan domestik, banyak produk dan perkhidmatan tempatan mesti diserap oleh pasaran tempatan.

"Untuk itu, sudah pasti kita memerlukan pendapatan yang lebih tinggi. Bagi memperoleh pendapatan tinggi, produktiviti mesti ditingkatkan.

"Anda tidak boleh meningkatkan bayaran sedangkan produktiviti masih pada tahap yang sama. Jika ia berlaku, ekonomi tidak akan berkembang dan ia mungkin menjurus kepada inflasi. 

"Oleh itu, kita perlu tingkatkan produktiviti rakyat dari segi pengeluaran barangan serta perkhidmatan bekalan. 

"Apabila kita melakukannya, pendapatan tambahan akan dibelanjakan di dalam negara, dan dengan itu sebahagian besar ekonomi tidak sahaja akan berasaskan kepada eksport, malah lebih kepada penggunaan domestik," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas mempengerusikan sesi rundingan meja bulat tahap tinggi anjuran Dewan Perdagangan dan Perindustrian Malaysia. 

Beliau berkata aktiviti eksport Amerika Syarikat menyumbang kira-kira 34 peratus kepada KDNK negara manakala bagi Malaysia, lebih 70 peratus. 
Beliau bagaimanapun berkata pentingnya pasaran eksport terhadap pertumbuhan ekonomi tidak boleh dinafikan. 

"Ia (eksport) tidak wajar menguncup tetapi mesti berkembang, namun peratusan sumbangannya kepada KDNK sepatutnya lebih kecil berikutan pertumbuhan penggunaan domestik," katanya. 

Bekas perdana menteri itu berkata kerajaan wajar mengkaji sumbangan penggunaan domestik semasa terhadap ekonomi. 

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir berkata unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak antara empat dan lima peratus bagi 2012 merupakan sesuatu yang dibanggakan berdasarkan ketidaktentuan ekonomi. 

"Ekonomi utama di Asia seperti China dan India sudah pasti akan terus berkembang pada tahap yang lebih besar. 

"Namun, pertumbuhan yang diunjurkan oleh Malaysia adalah lebih baik berbanding negara di Barat yang berhadapan msalah untuk berkembang atau bertahan pada paras semasa," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment