My Add

Saturday 14 April 2012

Karnival 'Siok Bah 1Malaysia...Tatap' diteruskan

TAWAU, SABTU, 14 April, 2012: Program Karnival "Siok Bah 1Malaysia...Tatap" yang kini berlangsung di Tawau akan diteruskan ke tiga lagi kawasan Parlimen di Sabah iaitu Penampang, Sepanggar dan Pensiangan.

Pengarah Penerangan Sabah, Almain Ajirul, berkata program anjuran Jabatan Penerangan Sabah yang membabitkan semua agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) serta agensi kerajaan lain itu bertujuan menjelaskan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat peringkat akar umbi.

"Karnival Siok Bah 1Malaysia...Tatap adalah barisan hadapan dalam memberikan kefahaman dan penjelasan (mengenai dasar-dasar kerajaan) serta menangkis sebarang dakyah dan fitnah yang di lemparkan kepada pucuk pimpinan negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Karnival "Siok Bah 1Malaysia...Tatap" di sini malam tadi. Karnival itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat.

Almain berkata, melalui program itu, semua agensi yang terlibat juga berperanan memberi perkhidmatan kepada rakyat menurut bidang kuasa masing-masing.

Selain Jabatan Penerangan, agensi di bawah KPKK yang turut menjayakan karnival itu ialah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, RTM, Jasa, Jabatan Arkib Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Telekom Malaysia, Pos Malaysia, Perbadanan Kraftangan Malaysia, Finas dan Bernama.

Agensi kerajaan lain ialah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pelajaran, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pertanian, Perpustakaan Negeri Sabah dan Jabatan Bomba dan Penyelamat. 

Sementara itu, Hamisah, ketika berucap pada majlis itu, berkata program agensi-agensi KPKK adalah perlu bagi memastikan maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan dapat sampai kepada rakyat dengan pantas dan tepat.

Beliau berkata, maklumat yang tidak tepat boleh digunakan pihak tertentu untuk kepentingan politik dan peribadi serta boleh mengelirukan rakyat.

"Jabatan Penerangan mempunyai tanggungjawab besar dalam usaha menggerakkan minda rakyat dengan memberi penjelasan tentang isu-isu semasa," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment