My Add

Sunday 15 April 2012

Kastam Kelantan gagalkan cubaan seludup dadah

KOTA BHARU, AHAD, 15 April, 2012: Kastam Kelantan berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki warga India untuk menyeludup masuk dadah jenis ketamin seberat tiga kilogram bernilai RM120,000 di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini, minggu lalu. 

Timbalan Pengarah Kastam Kelantan, Zakaria Yusoff, berkata lelaki berusia 38 tahun dari Mumbai, India itu ditahan selepas tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 11.30 pagi, 8 April lalu.

Dadah itu ditemui dalam beg yang dibawa lelaki tersebut selepas suspek didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika melalui pemeriksaan penumpang, katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

Katanya, kes itu adalah tangkapan pertama Kastam Kelantan membabitkan penyeludupan dadah oleh warga asing di lapangan terbang tersebut tahun ini. 

Mengulas kes lain, Zakaria berkata, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, Kastam Kelantan mengesan 187 kes penyeludupan melibatkan rampasan lima jenis komoditi utama negara bernilai RM1.9 juta. 

Antara komoditi itu ialah beras, rokok serta mercun dan bunga api, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment