My Add

Saturday 14 April 2012

Kelab Putera 1Malaysia bantu mangsa banjir


ABDUL Azeez Abdul Rahim mengagah bayi berusia dua bulan, Mohd. Nasrul Iman Mohd. Fairuz, sambil diperhatikan ibunya, Mazurah Yusop (kanan) semasa melawat mangsa-mangsa banjir sekitar Kuala Dipang di Pusat Penempatan Sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar, semalam.

KAMPAR, JUMAAT, 13 April, 2012: Kelab Putera 1Malaysia hari ini tiba bersama 50 sukarelawan termasuk lima doktor bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir besar yang melanda 13 buah kampung di sini semalam.

Misi tersebut turut membawa bekalan makanan, minuman serta pelbagai keperluan lain seperti tilam, lampin, berus gigi, tuala dan tuala wanita bagi diagihkan kepada semua mangsa di dua pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar dan Dewan Serbaguna Pulai Bergading, di sini.

Keadaan banjir di Kampar masih belum reda dengan jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan terus meningkat.

Bagaimanapun di Ijok, Selama dekat sini, kesemua 39 mangsa daripada lapan keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Sungai Segar, semalam telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tengah hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir di Kampar ketika dihubungi memberitahu, jumlah keseluruhan mangsa banjir di kawasan itu sehingga 7 petang ini meningkat kepada 1,225 orang berbanding 1,145 orang semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 293 mangsa ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar dan 45 mangsa di Dewan Pulau Bergading manakala selebihnya menumpang di rumah saudara-mara.

Kata beliau, meskipun cuaca cerah awal pagi ini hujan lebat kira-kira pukul 3 petang menyaksikan mangsa banjir meningkat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment