My Add

Wednesday 25 April 2012

Kelantan digesa tunai janji

Oleh YULPISMAN ASLI

KOTA BHARU, SELASA, 24 April, 3012: Kerajaan Pas Kelantan diminta menyegerakan pemberian tanah kepada pesara-pesara tentera sebagaimana dijanjikan.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani (gambar) berkata, kerajaan Pas Kelantan tidak perlu menunggu sehingga pilihan raya umum diadakan untuk melaksanakan pemberian tersebut.

Beliau berkata, terdapat lebih 12,000 pesara tentera yang berdaftar dengan PBTM dan mereka layak untuk menerima anugerah yang dijanjikan Kerajaan Pas Kelantan itu.

"Kita saran sebelum pilihan raya diadakan, tanah tersebut wajar diberikan. Kerajaan janji nak beri 0.8 hektar, nak cari di mana 12,000 hektar tanah yang dijanjikan, jangan percaya sangat sebelum dapat," katanya.

Beliau berucap pada majlis perjumpaan khas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pesara-pesara kerajaan, guru, tentera dan polis di Hotel Grand Riverview, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shukry Mohd. Salleh dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.

Pada 4 April lalu, Kerajaan Pas Kelantan mengumumkan akan menganugerahkan tanah sekurang-kurangnya seluas 0.8 hektar seorang kepada bekas tentera yang berasal ataupun pernah berkhidmat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Infrastruktur, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Anizam Abd. Rahman berkata, kerajaan memutuskan membentuk sebuah jawatankuasa pelaksana bagi tujuan itu yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Md. Anizam berkata, jawatankuasa tersebut akan menentukan kriteria penerima termasuk jangka masa berkhidmat sebagai tentera dan lokasi tanah melalui mesyuarat yang akan diadakan kelak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment