My Add

Saturday 14 April 2012

Kementerian Kesihatan tubuh 2 pasukan bantuan bencana

KAMPAR, SABTU, 14 April, 2012: Kementerian Kesihatan menubuhkan dua pasukan berlainan peranan bagi membantu mangsa setiap kali berlaku bencana, kata Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. 

Beliau berkata, pasukan perubatan akan membantu mangsa bagi memastikan kesihatan mereka berada pada tahap terbaik, manakala pasukan pendidikan pula bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada mangsa untuk mengekang penularan penyakit.

"Mangsa akan diberi ilmu pengetahuan seperti menggunakan air yang dimasak untuk diminum serta maklumat-maklumat lain bagi mengelak berlakunya penularan wabak dan penyakit akibat bencana," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar, di sini hari ini.

Melalui pendekatan itu, katanya, perhatian dapat diberikan kepada mangsa ketika dan selepas berlakunya sesuatu bencana. 

Katanya, selain petugas kementerian, terdapat pasukan sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang turut memberikan bantuan kepada mangsa bencana seperti banjir. 

Terdahulu, Rosnah menyampaikan bantuan makanan kepada 326 mangsa banjir yang masih ditempatkan di SMK Kampar. 

Semua mereka adalah penduduk dari Kampung Melayu, Kampung Baru, Kampung Pasir, Kampung Nyior, Jeram, Kampung Mesah, Kuala Dipang, Changkat Jering dan Kampung Batu 20. 

Banjir di kawasan berkenaan dikatakan berpunca daripada ban Sungai Kampar yang pecah sehingga menyebabkan paras air naik mendadak dalam masa singkat, sekali gus menyukarkan penduduk menyelamatkan harta benda. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata semua mangsa akan tinggal di pusat pemindahan sehingga banjir benar-benar reda. 

"Kita tidak dapat menjangka bila banjir ini reda kerana hujan turun hampir setiap hari...jadi kita letakkan semua agensi kerajaan yang terbabit di dalam keadaan berjaga-jaga," katanya. 

Beliau berkata, agensi berkenaan akan digerakkan serta-merta sekiranya banjir berlaku semula kerana terdapat penduduk yang telah dibenarkan pulang. 

Selain 326 mangsa di SMK Kampar, terdapat 35 mangsa ditempatkan Dewan Pulau Bergading, Malim Nawar, manakala tujuh lagi di Pusat Pemindahan Banjir, Kota Baharu di Gopeng. 

Mah berkata, ada antara penduduk yang dibenarkan pulang ke rumah dan akan kembali ke pusat pemindahan di waktu malam bagi mengelak terperangkap sekiranya hujan lebat dan air sungai melimpah. 

"Pada waktu malam jumlah penghuni di pusat pemindahan itu akan meningkat sehingga 800 orang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment