My Add

Monday 16 April 2012

Kempen tanam 26 juta pokok kini melebihi sasaran tahunan

SHAH ALAM, ISNIN, 16 April, 2012: Kempen tanam 26 juta pokok menjelang 2015, iaitu program menghijaukan negara kini melebihi sasaran tahunan, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup. 

Beliau berkata, tahun lalu lebih 12 juta pokok ditanam di seluruh negara dan dengan ini lebih 1.6 juta pokok ditanam berbanding sasaran purata tahunan.

"Berdasarkan rekod kita mencatatkan perkembangan yang positif iaitu melebihi 1.6 juta pokok berbanding sasaran purata tahunan yang kita jangkakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Earthweek 2012 di Pasaraya Space u8 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan untuk menanam purata 5.2 juta pokok setahun bagi tempoh lima tahun sempena Kempen Tanam 26 Juta Pokok yang dilancarkan pada April 2010. 

Kurup berkata, semua pihak tanpa mengira peringkat umur, sektor swasta mahupun kerajaan perlu bekerjasama bagi memelihara dan memulihara alam sekitar yang semakin terancam pada hari ini sehingga berlakunya bencana seperti banjir. 

Beliau berkata, kempen kesedaran seperti yang dijalankan sepanjang tujuh hari bermula hari ini oleh pasaraya itu adalah sangat tepat bagi menyampaikan mesej kepada orang ramai tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar.

Katanya, program Earthweek 2012 turut mendapat sokongan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Kurup berkata, wakil daripada kementeriannya juga ada membuka gerai pameran dan penerangan bagi menjawab sebarang isu berhubung alam sekitar. 

Sementara itu, beliau difahamkan sebanyak 100,000 tandatangan dan ikrar akan dikumpul dan digantung menjadi pokok sepanjang program itu sebagai komitmen menjaga alam sekitar yang turut akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment