My Add

Wednesday 25 April 2012

Kerajaan sediakan pelan pembangunan 5 tahun untuk Orang Asli

TEMERLOH, RABU, 25 April, 2012: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyediakan pelan tindakan pembangunan lima tahun bagi melaksanakan program pembangunan masyarakat Orang Asli di negara ini. 

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ia merangkumi pembangunan infrastruktur, pelajaran, ekonomi, pertanian dan latihan kemahiran kepada masyarakat berkenaan.

"Banyak pembangunan yang sudah dilaksanakan untuk Orang Asli, dalam bidang pelajaran umpamanya, kira-kira 300 anak Orang Asli sedang menuntut di pusat pengajian tinggi di seluruh negara dalam bidang undang-undang, kesihatan dan kejuruteraan.

"Mereka diberikan biasiswa, manakala lebih 300 lagi yang sudah menjawat pelbagai jawatan tertinggi di dalam kerajaan, antaranya doktor, jurutera, akauntan, pegawai tabdir dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Mesra Minda Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang di Penderas dekat Kuala Krau, petang semalam. 

Mohd Shafie berkata, kerajaan juga giat meningkatkan pembabitan Orang Asli dalam ekonomi, keusahawanan dan budaya supaya mereka lebih maju dan boleh bersaing dengan masyarakat lain dalam pelbagai bidang. 

"Bagi meningkatkan pelajaran anak Orang Asli, kerajaan melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) menaja lapan daripada mereka melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam bidang undang-undang dan perubatan tahun ini, malah ramai lagi akan dihantar pada masa akan datang," katanya. 

Katanya, kini hampir 1,600 anak-anak Orang Asli bertugas di jabatan dan agensi kerajaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KKLW mmperuntukkan RM16 juta bagi pembinaan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara tahun ini. 

"Sebanyak RM8 juta daripada peruntukan tersebut adalah bagi membina 513 buah rumah di negeri Pahang dan ia antara projek PPRT yang terbanyak dibina tahun ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment