My Add

Sunday 15 April 2012

KKM nak bincang isu caj tinggi pesakit polisi insurans

KUALA LUMPURAHAD, 15 April, 2012: Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi mengatasi isu bayaran lebih tinggi yang dikenakan hospital swasta kepada pesakit menggunakan polisi insurans berbanding pembayaran tunai. 

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ini kerana pada asasnya pesakit tidak boleh dikenakan caj berbeza.

"Jika amalan ini diteruskan pesakit tidak akan menerima faedah yang optima perlindungan insurans tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Swasta, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan menetapkan kadar fi yang selaras untuk perkhidmatan profesional oleh doktor atau doktor pakar, dan mana-mana pihak tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan caj berlebihan. 

Beliau berkata, setiap hospital swasta perlu menggubal tatacara ketidakpuasan hati bagi mengendalikan aduan berkaitan caj perkhidmatan di peringkat hospital. 

Antara mekanisme itu ialah memaparkan caj perubatan di laman web hospital selain memaklumkan dari awal kepada pesakit mengenai bayaran yang bakal dikenakan bagi memberi mereka pilihan sama ada meneruskan rawatan atau sebaliknya. 

Dalam pada itu, Liow berkata kementerian juga akan meminda peraturan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 bagi memberi kelonggaran kepada pelaksanaan hospital dan klinik swasta.

"Pegawai penguatkuasa kita (kementerian) terlalu ketat apabila menilai klinik...(kelonggaran) dilaksanakan dan kita akan maklumkan kepada semua. Tidak perlu terlalu ketat kerana doktor terbabit tidak salah dari segi etika kerja," katanya. 

Sementara itu, Liow berkata Ahli Lembaga Pelawat Hospital Swasta dilantik oleh kementerian dan memainkan peranan sebagai fasilitator untuk menyampaikan maklumat tepat kepada orang ramai mengenai perkhidmatan yang ditawarkan di sesebuah hospital. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment