My Add

Wednesday 25 April 2012

Klinik Gigi Bergerak 1Malaysia akan diwujudkan

BENTONG, RABU, 25 April, 2012: Klinik Gigi Bergerak 1Malaysia (KGB1M) akan diperkenalkan tidak lama lagi bagi membolehkan penduduk luar bandar di seluruh negara mendapat rawatan pergigian dan penjagaan gigi yang lebih baik dan teratur.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, klinik bergerak itu akan memulakan perkhidmatannya bulan depan bermula di daerah Lipis sebelum ia diperluaskan perkhidmatannya di daerah lain di negeri Pahang dan seluruh negara.

Katanya, perkhidmatan klinik gigi bergerak dilaksanakan berikutan kejayaan Klinik Bergerak 1Malaysia (KB1M) yang berjaya memberikan perkhidmatan kepada lebih 50,000 penduduk luar bandar di negeri Pahang sejak ia mula dilancarkan pada Mei tahun lalu.

"Selain memberikan rawatan kepada penduduk di kampung-kampung tradisional, perkhidmatan KB1M turut meliputi kawasan ladang dan penempatan Orang Asli," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Klinik Kesihatan Chemomoi yang bernilai RM12.9 juta di sini, hari ini.

Klinik berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang Datuk Hoh Khai Mun dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abd Rahman.

Tiong Lai berkata, kerajaan juga akan membina klinik yang bertaraf klinik desa atau klinik kesihatan dalam lingkungan setiap lima kilometer bagi memudahkan penduduk mendapat rawatan yang lebih cepat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment