My Add

Monday 16 April 2012

Konflik antara negara harus diselesaikan secara diplomatik

KUALA LUMPUR, ISNIN, 16 April, 2012: Malaysia berpendirian setiap konflik antara negara terutama membabitkan anggota Asean harus diselesaikan secara diplomatik, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Selain itu katanya, negara berkenaan juga boleh menggunakan platform yang lama wujud iaitu Persidangan Kementerian Pertahanan Asean untuk menyelesaikan pergeseran.

"Setiap konflik yang wujud tidak harus membabitkan tindakan ketenteraan, tetapi harus diselesaikan menerusi peringkat bilateral yang boleh dilanjutkan ke peringkat multilateral," katanya kepada pemberita, selepas melawat Pameran Pertahanan dan Sekuriti Defence Services Asia (DSA) ke-13, di sini hari ini.

Beliau mengulas konflik antara Filipina dan China yang timbul baru-baru ini apabila pasukan tentera kedua-dua negara cuba campur tangan susulan insiden kapal nelayan China memasuki perairan Pulau Luzon, Filipina. 

Mengenai pameran DSA, Zahid berkata, pihaknya amat berbangga dengan pameran kali ini kerana banyak produk baru diperkenalkan. 

"Pameran ini menjadi penting kepada pengeluar industri pertahanan kerana 40 peratus pendapatan dalam industri pertahanan di seluruh dunia datangnya daripada negara Asean," katanya. 

DSA kali ini membabitkan 850 penyertaan pengusaha industri pertahanan dari dalam dan luar negara dan pameran itu diadakan selama empat hari bermula hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment