My Add

Wednesday 18 April 2012

Kontrak pertahanan hanya untuk kesiapsiagaan ATM

KUALA LUMPUR, RABU, 18 April, 2012: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peruntukan kontrak bernilai RM357.2 juta hanya untuk kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tiada pembelian aset baru. 

Beliau berkata, kementeriannya kini mengambil langkah berjimat dalam peruntukan negara supaya ia dapat disalurkan kepada pembangunan sosio-ekonomi negara, yang kini menjadi tumpuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini.

"Peruntukan kontrak kali ini lebih kepada aspek penyelenggaraan aset sedia ada dan pembelian barangan untuk kesiapsiagaan ATM. Tiada aset baru kita beli," katanya selepas majlis pemeteraian kontrak dan Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM4.76 bilion pada pameran pertahanan dan sekuriti Defence Services Asia (DSA 2012) di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada RM4.76 bilion itu, hanya RM357.2 juta adalah kontrak antara syarikat Kementerian Pertahanan dan syarikat tempatan serta luar negara bagi pembekalan ATM. 

"Selebihnya membabitkan MoU antara syarikat dan syarikat," katanya. 

Ahmad Zahid berkata, kesemua kontrak itu telah ditawarkan secara terbuka dan dipilih mengikut kelayakan kehendak kementerian. 

Mengulas rancangan untuk melanjutkan hayat penggunaan helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), beliau berkata, kerajaan merancang untuk melaksanakannya dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). 

"Sehingga kini kita belum mempunyai bajet dan kita sudah menerima lima tawaran untuk program melanjutkan usia penggunaan pesawat daripada syarikat tempatan dan luar negara," katanya. 

Helikopter Nuri, buatan Amerika Syarikat, digunakan TUDM sejak tahun 60-an dan telah memberikan khidmat lebih daripada 50 tahun. 

Ketika ini, TUDM mempunyai tidak sampai 20 unit helikopter berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment