My Add

Wednesday 25 April 2012

KUB tiada rancangan jual A&W Malaysia

KUALA LUMPUR, RABU, 25 April, 2012: KUB Malaysia Bhd tiada rancangan untuk menjual perniagaan francais makanan segeranya, A&W Malaysia, demikian menurut sumber industri hari ini.

Baru-baru ini, dilaporkan yang syarikat akan melupuskan 45 peratus ekuiti dalam perniagaan restoran makanan segera kepada Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas).

"Rancangan untuk menjual A&W dibuat di bawah CEO sebelumnya. Rancangan itu kini sudah tidak sah lagi. Sekarang ini ialah masa untuk membetulkan strategi dalam membawa perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi," kata sumber itu.

Malah, KUB telah merancang untuk memajukan perniagaan restoran makanan segeranya A&W Malaysia di bawah Pengarah Urusan Kumpulan sekarang ini iaitu Datuk Wan Mohd Nor.

KUB ialah pemegang lesen A&W di Thailand dan Malaysia sejak 2002. Pada masa ini, ia mempunyai 45 cawangan di Malaysia dan 43 di Thailand.

Wan Mohd telah dilantik pengarah urusan kumpulan pada bulan Disember tahun lepas.

Beliau dijangka mendedahkan rancangan perniagaannya tidak lama lagi.

KUB mencatatkan kerugian bersih RM61.86 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 daripada RM11.48 juta untung bersih pada 2010. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment