My Add

Wednesday 25 April 2012

Legoland pertama Asia dibuka 15 September

NUSAJAYA, RABU, 25 April, 2012: Legoland pertama Asia akan dibuka bagi perniagaan pada 15 September depan. 

Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst, berkata taman tema berharga RM700 juta di kawasan seluas 76 ekar di Iskandar Malaysia, Johor itu kini sudah 75 peratus siap.

Beliau berkata, bulan lepas, kontraktornya memulakan kerja-kerja memberi tema kepada taman itu, dan bulan depan mereka akan mula memasang 50 juta kepingan lego dan model.

"Saya gembira mengumumksn bahawa hasil daripada usaha keras semua kontraktor kami, kami akan membuka taman itu beberapa bulan lebih awal daripada dijadualkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Legoland Malaysia di sini adalah taman tema Legoland keenam di dunia dan yang pertama di Asia. 

Taman itu yang ditampilkan dengan tujuh tema khas iaitu 'Lego kingdom', 'imagination', 'land of adventure', 'lego technic', 'the beginning', 'lego city' dan 'miniland', direka khas bagi keluarga yang mempunyai kanak-kanak berusia dari dua hingga 12 tahun. 

Boerst berkata lebih 35,000 pas tahunan telah dijual dan 60 peratus daripada pembelinya adalah warga Malaysia. Pas tahunan berharga RM195 bagi orang dewasa dan RM150 bagi kanak-kanak itu sah hingga akhir 2013. 

"Tiket harian taman ini akan mula dijual dalam talian dalam bulan ini dengan harga tawaran pengenalan khas sebanyak RM96 bagi orang dewasa dan RM70 bagi kanak-kanak. 

Legoland Malaysia menjangka dapat menarik sejuta pengunjung dalam tahun pertama ia beroperasi. 

Tiket-tiket boleh didapati dalam talian melalui laman sesawang AirAsia RedTix dan Legoland Malaysia.

Boerst berkata Legoland Malaysia sedang berunding dengan pengusaha tempatan untuk menyediakan pakej bagi pelawat dari Lembah Klang. 

"Kami berharap dapat menyediakan lebih banyak pengangkutan bagi pengunjung kami di sini dan rancangan telah dibuat untuk mengadakan laluan baru dengan pihak berkuasa tempatan agar bas sampai di sini," katanya. 

Mengenai penginapan, beliau berkata Merlin Entertainments Group telah menandatangani perjanjian pengurusan dengan LL Themed Hotel Sdn Bhd untuk membangunkan dan membina Hotel Legoland. Hotel Legoland dijangka siap pada 2014.

Sementara itu, Legoland Malaysia juga sedang berunding dengan pengusaha hotel di Johor untuk menyediakan bas perantara dari hotel ke taman. 

"Kami sedang berbincang dengan pemilik hotel dan kami harap mereka boleh bekerjasama dengan kami," katanya. 

Legoland Malaysia akan menampilkan lebih 40 tunggangan interaktif, pertunjukan dan pelbagai tarikan apabila ia dibuka kelak. 

Taman-taman tema Legoland lain di seluruh dunia ialah di Denmark, United Kingdom, Jerman, Florida dan California, di Amerika Syarikat. 

Ini adalah taman kedua selepas taman Legoland Billund, Denmark, untuk menempatkan Menara Cerap di mana pengunjung dijulang naik ke ketinggian 41 meter untuk menyaksikan pandangan keseluruhan taman tema itu sambil menara itu berputar untuk melengkapkan satu pusingan dalam tempoh 50 saat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment