My Add

Saturday 21 April 2012

Malaysia, Kazakhstan perlu ambil tindakan susulan

BACHOK, SABTU, 21 April, 2012: Malaysia dan Kazakhstan perlu mengambil tindakan susulan untuk merealisasikan perjanjian persefahaman (MOU) antara kedua-dua negara terutama yang membabitkan pelaksanaan sistem kewangan Islam di Kazakhstan. 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata menerusinya Malaysia mampu memberi sumbangan yang lebih bermakna ke arah membangunkan sistem berkenaan.

"Ini disebabkan Malaysia mempunyai kepakaran dan menerajui sistem itu di peringkat global," katanya selepas berucap kepada 300 penduduk di Kampung Padang China, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas lawatan kerja Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev ke negara ini selama dua hari bermula Rabu lalu untuk menawarkan pelbagai bidang pelaburan di negara berkenaan. 

Ketika berada di negara ini, Nazarbayev dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan mesyuarat delegasi kedua-dua negara selain turut menandatangani memorandum persefahaman dalam bidang pendidikan, sumber mineral dan pelancongan. 

Awang Adek berkata, negara itu menaruh minat mendalam untuk mengembangkan sistem kewangan Islam di negara mereka dan beberapa bidang lain. 

"Mungkin ini disebabkan kedua-dua negara mempunyai latar belakang yang sama iaitu pemerintahan berasaskan Islam selain negara itu mempunyai potensi dalam pelaksanaan kewangan Islam," katanya. 

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta bank pusat Kazakhstan perlu mengadakan perbincangan lanjut bagi merealisasikannya. 

"Ini untuk membentuk kerjasama yang lebih erat dan hubungan perdagangan yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment