My Add

Saturday 14 April 2012

Mangsa nahas nikah di wad ortopedik

MELAKA, SABTU, 14 April, 2012: "Kalau dah jodoh tak ke mana". Itu lah perumpamaan tepat untuk pasangan pengantin yang diijab kabul di wad Ortopedik Hospital Melaka di sini hari ini. 

Pengantin lelaki, Izman Mohamad, 35, yang kini dirawat di hospital itu, sebelum ini koma selama tiga hari selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 6 April.

Keadaan Izman yang dirawat di wad Ortopedik hospital itu tidak menghalang beliau untuk melangsungkan akad nikah dalam satu majlis ringkas di wad itu yang dihadiri anggota keluarga terdekat dan petugas wad berkenaan.

Dengan berkerusi roda dan pakaian pengantin warna sedondon merah kekuningan, Izman sah menjadi suami kepada Murni Osman, 33, dengan dua kali lafaz. 

Pasangan itu dinikahkan Imam I Masjid Fat’hur Rahman, Pengkalan Rama, Yunos Bidin pada jam 10 pagi. 

Majlis ringkas itu disulami tangisan gembira lebih 30 keluarga terdekat kedua-dua mempelai. 

Sebaik bergelar isteri, Murni, seorang kerani di pejabat UMNO Bahagian Bukit Katil di sini melahirkan rasa syukur kerana majlis pernikahan itu berjalan mengikut jadual walaupun dalam keadaan serba ringkas. 

"Mengikut perancangan, kami sepatutnya melangsungkan pernikahan di rumah saya di Durian Daun hari ini. 

"Apapun, saya berasa amat bersyukur, gembira dan lega kerana majlis ini dapat dijalankan pada tarikh yang dirancang walaupun dalam hospital," katanya ketika ditemui di wad itu di sini. 

Murni berkata, dalam kemalangan itu, Izwan yang juga Pembantu Am Rendah di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) cedera parah apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Hang Tuah pada jam 1 pagi. 

Akibat kemalangan itu, Izwan koma selama tiga hari dan dirawat di unit rawatan rapi sebelum dipindahkan ke wad ortopedik. 

Beliau berkata, suaminya dibenarkan pulang sementara untuk menghadiri majlis persandingan mereka yang akan berlangsung esok di Dewan MBMB, Durian Daun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment