My Add

Wednesday 25 April 2012

Masalah penduduk Kampung Baru Subang dapat simpati PM

PETALING JAYA, RABU, 25 April, 2012: Nasib penduduk Kampung 1A, Kampung Baru Subang, di sini, yang berhadapan dengan masalah longkang dan jalan raya rosak sejak empat tahun lalu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Shafie Abdullah, berkata kedatangan kali kedua ke kampung itu hari ini adalah untuk mengadakan perjumpaan dan mendengar masalah penduduk di situ selepas kebajikan mereka diabaikan kerajaan negeri pimpinan pembangkang yang tidak menunaikan janji untuk memperbaiki jalan yang berlopak serta berlubang.

"Dua minggu lalu, saya ada datang ke sini untuk melihat masalah ini dan sudah memberitahu Datuk Seri Najib Razak mengenai masalah jalan yang begitu teruk di sini...

"Selepas itu Perdana Menteri suruh saya datang ke sini sekali lagi dan beritahu bahawa kita akan selesaikan masalah ini dan saya juga dah cakap dengan wakil UMNO Bahagian iaitu Datuk Ahmad Busro Mat Johor," katanya kepada pemberita di sini. 

Mohd Shafie berkata, kos membaiki jalan sepanjang satu kilometer dan longkang, yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta, akan dimulakan secepat mungkin. 

"Sebelum ini saya dimaklumkan kerajaan pakatan sudah janji nak baiki jalan tersebut tetapi mereka baiki separuh-separuh. Saya tak paham apa tujuan mereka baiki separuh-separuh, bila baiki separuh-separuh longkang dibaiki tetapi jalan rosak," katanya. 

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri sepatutnya membaiki jalan itu selepas mendapat bayaran premium daripada kira-kira 60 pemilik kilang dan beliau kesal Majlis Bandaraya Shah Alam tidak memberikan respons positif sungguhpun masalah itu sudah beberapa kali diadukan. 

Beliau berkata, penduduk kawasan itu mendakwa wakil rakyat tidak pernah datang ke kawasan mereka bagi mendengar dan melihat sendiri masalah penduduk. 

Sementara itu, Ahmad Busro berkata beliau yakin dan percaya hasil perbincangan dan keprihatinan Perdana Menteri, isu jalan itu dapat diselesaikan. 

"Saya yakin bila BN dah janji, saya jangka jalan ini boleh siap dalam tempoh tiga bulan dan saya yakin ia akan diluluskan," katanya. 

Pada masa sama, ketua kampung kawasan itu, Lee Hon Keong, sangat berterima kasih kepada BN kerana prihatin dengan masalah mereka dan yakin hanya BN menepati janjinya membantu rakyat untuk hidup selesa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment