My Add

Wednesday 18 April 2012

Media dunia Islam berperanan sokong perjuangan Palestin

LIBREVILLE, RABU, 19 April, 2012: Dunia Islam perlu melihat secara lebih dekat peranan maklumat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin, kata seorang pegawai kanan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini. 

Pengarah Jabatan Penerangan OIC, Dr Isam Salim Shanti, berkata media perlu mendedahkan pencerobohan Israel di Al-Quds Al-Shareed, khususnya terhadap Masjid Al-Aqsa dan tindakan rejim itu menindas serta mencabuli hak asasi penduduk Gaza.

Beliau juga menegaskan tentang perlunya bagi media menangkis kempen yang menyemarakkan Islamofobia dengan memberi gambaran sebenar tentang prinsip Islam sebagai agama yang menganjurkan keamanan dan amalan tolak ansur.

Dalam ucapan beliau hari ini, Dr Isam menyuarakan harapan supaya perbincangan pada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan, Sesi Kesembilan Persidangan Menteri-menteri Penerangan Islam (ICIM), khususnya mengenai isu kerjasama dan penyelarasan dalam kalangan wartawan dan agensi penyiaran, akan membuahkan hasil yang bermakna. 

"Kita berharap dapat melihat hasil yang sungguh bermakna daripada sesi ini, demi manfaat anggota pertubuhan ini," katanya pada sesi itu. 

Sesi itu berlangsung hari ini di 'City of Democracy', di Libreville, Gabon, dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan yang membuat persiapan bagi menghadapi mesyuarat peringkat menteri pada esok. 

Mesyuarat itu dimulakan dengan ucapan oleh pengerusi sesi kelapan dan kesembilan, yang juga wakil Setiausaha Agung OIC Ekmeleddin Ihsanoglu, diikuti pemilihan anggota biro dan penetapan agenda dan program kerja. 

Agenda mesyuarat itu termasuk membincangkan peranan OIC dalam menyokong perjuangan Al-Quds Al Shareef dan Masjid Al Aqsa, mewujudkan rancangan penerangan bersepadu bagi tujuan komunikasi dengan negara bukan anggota OIC dan melancarkan saluran Islamic TV Satellite di bawah nama OIC. 

Perkara baru dalam agenda tahun ini termasuk penubuhan Kesatuan Wartawan Islam OIC, penyediaan program penerangan khas untuk menonjolkan dan meningkatkan kedudukan serta peranannya di dunia Islam dan perbincangan mengenai kemajuan yang dicapai berhubung penubuhan Kesatuan Pihak Berkuasa Kawal Selia Penyiaran OIC. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment