My Add

Thursday 26 April 2012

Misi MALCON ISAF diteruskan di sebalik pengunduran NATO

PETALING JAYA, KHAMIS, 26 April, 2012: Malaysia akan meneruskan misi kemanusiaan menerusi Kumpulan Induk Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kontinjen Malaysia (MALCON ISAF) di Afghanistan walaupun Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dijangka berundur menjelang 2014. 

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata ini membuktikan kesungguhan ATM dalam melaksanakan misi yang dipertanggungjawabkan.

"Kita akan meneruskan misi ini semampu mungkin, namun ia bergantung kepada keadaan semasa dan peruntukan yang ditetapkan kepada pihak kami," katanya di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau menyampaikan amanat kepada anggota MALCON ISAF 4 yang akan berlepas ke wilayah Bamyan, Afghanistan esok bagi menggantikan pasukan MALCON ISAF 3 yang menamatkan misi pada 5 Mei. 

Diketuai Leftenan Kolonel Jamaluddin Alias, MALCON ISAF 4 disertai 40 anggota terdiri daripada 12 pegawai dan 28 anggota lain-lain pangkat. 

Misi enam bulan sehingga Oktober 2012 itu bertujuan memberi bantuan perubatan, pergigian dan bantuan kemasyarakatan kepada penduduk di wilayah itu. 

Dalam pada itu, Zulkifeli berkata, pihaknya bercadang untuk membuka ruang kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang berminat untuk menyertai misi MALCON ISAF di Afghanistan.

"Prospek memang ada untuk kita bergabung dengan NGO dan mungkin dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Ini kerana misi seumpama ini melibatkan kos yang besar," katanya. 

Beliau menasihatkan anggota MALCON ISAF 4 supaya mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan tugas di Afghanistan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment