My Add

Friday 13 April 2012

MyEG lancar portal debat online

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 13 April, 2012: MyEG, penyedia perkhidmatan e-kerajaan Malaysia, melancarkan ipidato, portal debat online, berobjektif untuk mengubah cara orang berdebat di negara ini.

Pengarah Urusannya, TS Wong, berkata selain menawarkan peluang untuk perdebatan politik dalam persekitaran politik semasa negara, portal itu juga bertujuan menarik semua sektor profesional untuk berdebat secara bijak dan bersandarkan fakta mengenai semua aspek kehidupan seharian di samping politik.

"Perdebatan secara online adalah lebih efektif daripada perdebatan bersemuka kerana ia membolehkan penyelidikan untuk hujahan dan penafian manakala pengikut perdebatan itu juga mempunyai lebih banyak masa untuk menyelami intipati hujahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, portal itu akan menjadi penanda aras di mana pendebat akan melalui perubahan radikal kerana mereka perlu berupaya memberikan respons berwibawa dan fakta berdasarkan penyelidikan mendalam manakala pembaca boleh membuat penghakiman lebih baik berdasarkan fakta dikemukakan.

Wong berkata, sama sepertimana platform media sosial, Twitter, ipidato menawarkan debat yang dikendalikan secara kos efektif dan kena pada masanya dan mudah untuk pengikut mengikuti perkembangan terkininya.

"Malahan, menerusi ipidato, orang ramai boleh dengan mudah mengenali pendebat yang melakukan penyelidikan dan arif dengan topik berkenaan berbanding dengan mereka yang hanya mahu tunjuk pandai," katanya.

Katanya, kesediaan kerajaan untuk turut serta dalam debat berkenaan membuktikan usahanya untuk memastikan ketelusan dan penyedia perkhidmatan percaya ini akan menjadikan kerajaan Malaysia sebagai yang pertama di dunia yang bersedia membahaskan dasar-dasarnya secara terbuka menerusi platform online.

"MYeG berharap debat awam seumpama ini akan diguna pakai di negara-negara lain juga dan Malaysia sekali lagi akan menjadi pendahulu trend dalam perkara ini," katanya.

Beliau berkata, bagi memulakan debat di ipidato, MYEG sudah mendapatkan penyertaan dan komitmen daripada tokoh politik dan personaliti terkenal dan orang ramai boleh menjangkakan perdebatan hangat mengenai isu semasa dan panas.

Pada 16 April ini, portal itu akan menyiarkan secara langsung debat antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke bertajuk "Is the Malaysian election process fair?" (Adakah proses pilihan raya Malaysia adil).

Personaliti lain yang sudah mengesahkan penyertaan pada minggu seterusnya ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua Kiam Wee; dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment