My Add

Wednesday 25 April 2012

Najib akan temui orang ramai di Pasar Besar Sibu Jumaat ini

SIBU, RABU, 25 April, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual berada selama kira-kira sejam di Pasar Besar Sibu Jumaat ini untuk beramah mesra dengan orang ramai yang membeli-belah di pasar awam yang dipercayai terbesar di Malaysia itu. 

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Datuk Tiong Thai King, berkata peniaga di pasar itu sungguh teruja dan tidak sabar menanti kedatangan hari yang bermakna itu.

"Kami juga menjemput pemimpin masyarakat setempat dan orang ramai untuk datang ke sana sebelum jam 7.30 pagi kerana perdana menteri dan rombongan beliau dijangka tiba pada jam 8 pagi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan majlis itu di sini hari ini.

Pasar itu mempunyai 1,100 gerai tetap dan antara 200 hingga 250 "tamu" atau gerai pribumi serta terkenal sebagai pasar yang mempunyai pengurusan paling cekap di negara ini. 

Ini adalah kunjungan ketiga Najib ke situ, selepas mengunjunginya pada 23 Feb dan 13 Mei 2010. 

Tiong, yang juga Ahli Perlimen Lanang berkata, Najib akan menikmati hidangan roti canai sebagai sarapan bersama beberapa peniaga di pasar itu. 

"Kemudian, beliau akan berjalan-jalan di pasar berkenaan untuk bertemu dan beramah mesra dengan orang sebelum menghadiri acara berikutnya iaitu perasmian SJKC Thai Kwang di Upper Lanang Road," katanya.

Sesi tinjauan mesra di pasar itu adalah sebahagian daripada atur cara lawatan Najib selama dua hari ke Sarawak, yang bermula esok. 

Sementara itu, pada mesyuarat hari ini, Tiong melahirkan perasaan kecewanya mengenai kekurangan kesedaran sivik dalam kalangan sesetengah penduduk di sini yang kata beliau masih ketara walaupun Sibu sudah menjadi sebuah bandar moden dengan penduduknya mempunyai taraf hidup yang sudah banyak berubah. 

"Sekiranya anda berada di mana-mana tempat meletak kenderaan di bandar ini, anda boleh nampak kertas tisu, kupon parkir dan kotak rokok berselerak di sana-sini. Kalau memandu pula, anda akan dapati pemandu meredah lampu kuning dan lampu merah, lampu trafik yang dirosakkan, pemandu membuang sampah dari kenderaan dan melonggok sampah di tepi jalan," katanya. 

Beliau berkata, banyak penutup longkang juga sudah tiada, pekedai menyapu sampah ke dalam longkang di hadapan kedai masing-masing dan orang membuang puntung rokok di lantai. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment